Perlumbaan pemimpin politik ibarat Game of Thrones

No Image Caption
A
A
A

[DIKEMAS KINI] SIRI pertemuan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan semua ketua parti politik dan Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021, Tun Ariffin Zakaria sejak 9 Jun lalu pastinya tertumpu kepada satu perkara paling mutakhir.

Tumpuan semua pihak ketika ini sememangnya berkenaan usaha kerajaan mencari solusi tuntas dalam mendepani krisis pandemik Covid-19 yang kembali membarah sejak dua bulan lalu, selain dua krisis lain yang bergerak seiringan iaitu krisis politik dan ekonomi.

Pelbagai cadangan, andaian dan teori politik telah dikemukakan, sama ada daripada pemimpin politik sendiri mahu pun rakyat biasa, rentetan daripada siri pertemuan penting berkenaan.

Ada yang mencadangkan tempoh proklamasi darurat yang dijangka berakhir pada 1 Ogos ini, ditamatkan serta-merta atau tidak dilanjutkan lagi.

Ada juga berpandangan sidang Parlimen wajar dibuka semula bagi membolehkan segala pelaksanaan urus tadbir kerajaan Perikatan Nasional (PN) sepanjang tempoh darurat melalui aspek semak dan imbang.

Bahkan, terdapat cadangan lebih 'besar' dikemukakan bekas Perdana Menteri berusia 95 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengesyorkan Seri Paduka Baginda menubuhkan sebuah badan seperti Majlis Gerakan Negara (Mageran) sebagai pengganti kepada kerajaan sedia ada.

Lebih menarik, pengasas Parti Pejuang Tanahairku (Pejuang) itu turut menawarkan dirinya menyertai Mageran, sekali gus mengundang bantahan daripada blok kerajaan diketuai Bersatu dan UMNO, bahkan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) sendiri.

Tidak ketinggalan, kerajaan PN melalui Muhyiddin sendiri turut menawarkan satu solusi penyelesaian tri-krisis dihadapi negara, iaitu krisis politik, kesihatan dan ekonomi melalui Pelan Pemulihan Negara yang dibentangkan kepada rakyat pada petang Selasa.

Artikel Berkaitan:

Sebenarnya, peristiwa politik yang berlaku sejak seminggu lalu bukan sekadar berkisar cadangan-cadangan dikemukakan ketua-ketua parti sahaja.

Secara tersirat, siri pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong itu boleh diibaratkan seperti sebuah temasya perlumbaan pemimpin-pemimpin politik yang bercita-cita tinggi, dalam menawarkan satu tawaran baharu (new deal) kepada Seri Paduka Baginda.

Ibarat drama bersiri terkemuka 'Game of Thrones' di mana semua pemimpin suku kabilah di negara Seven Kingdom berlumba-lumba merencana strategi untuk merampas singgahsana yang kosong selepas kemangkatan Raja Robert Baratheon.

Namun, perihal perlumbaan antara pemimpin-pemimpin politik di Malaysia untuk memenangi hati Seri Paduka Baginda jika dilihat lebih dekat, sebenarnya tertumpu kepada satu tujuan utama, iaitu memohon perkenan Tuanku Al-Sultan Abdullah bagi menubuhkan sebuah kerajaan baharu atau mempertahankan kerajaan sedia ada.

Maka tidak hairanlah pelbagai spekulasi dan desas-desus timbul, tidak kiralah sama ada berkisar mengenai usaha pembentukan jajaran baharu atau dakwaan terdapat pemimpin politik mengutip surat akuan bersumpah (SD) ahli-ahli Parlimen bagi memenuhi objektif politik masing-masing.

Bagi penulis, segala gerakan atau spekulasi yang tercetus ketika ini sebenarnya menggandakan lagi kebimbangan rakyat terhadap kemampuan pemimpin politik dalam mendepani tri-krisis yang kian membelenggu hidup mereka.

Lebih parah, polemik politik ketika ini secara jelas menggambarkan semua pemain politik masih gagal menunjukkan semangat kebersamaan dengan mendahulukan kepentingan politik berbanding kepentingan rakyat.

"Saya bersetuju pandangan mengatakan pemimpin-pemimpin utama politik negara sedang berusaha menawarkan sesuatu kepada Yang di-Pertuan Agong, sama ada penawaran pelan penyelesaian tri-krisis atau tawaran diri mereka mengetuai kerajaan baharu.

"Yang lebih dahsyat, di peringkat akar umbi, terdapat gerakan pemimpin tertentu mengumpul SD untuk membentuk kerajaan baharu,cubaan tukar Perdana Menteri atau penubuhan Mageran 2.0.

No Image Caption

"Ini kerana mereka melihat siri pertemuan Yang di-Pertuan Agong dengan ketua-ketua politik ketika ini tidak ubah seperti peristiwa pertukaran kerajaan PH pada tahun lalu yang mungkin membawa kepada penyelesaian penubuhan kerajaan baharu sekali lagi atau rombakan Kabinet," kata Felo Penyelidik Institut Kajian Politik Malaysia daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pandangan itu dipersetujui penyelidik kanan O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi yang melihat siri pertemuan Yang di-Pertuan Agong dengan ketua-ketua politik bukanlah satu amalan konvensional, sebaliknya membabitkan isu legitimasi kerajaan.

Jelas beliau, hal ini dapat dibuktikan menerusi peristiwa krisis politik negeri Perak dan Selangor pada tahun 2009 dan 2014 di peringkat kerajaan negeri dan pertemuan dengan ketua-ketua parti serta 222 ahli Parlimen sewaktu Februari 2020.

"Bagi saya, situasi terkini menunjukkan institusi beraja semakin memiliki peranan yang penting apabila kedinamikan politik semakin rencam dan cair," katanya.

Dari sudut kesungguhan pemimpin politik mencari penyelesaian 'exit strategi' tri-krisis, Achmed Dzarien mengakui polemik mereka merencana strategi mendapatkan kuasa, termasuk segelintir pemimpin blok kerajaan, seolah-olah memperkecilkan usaha kerajaan sendiri.

Beliau turut berpandangan semua pemimpin politik masih gagal menunjukkan keikhlasan sebenar sewaktu berkhidmat untuk rakyat, malahan ada menjadikan tri-krisis sebagai batu loncatan bagi meraih laba politik.

"Lebih menarik, beberapa pemimpin utama politik dilihat ghairah membentangkan cadangan pelan penyelesaian krisis Covid-19 melalui saluran media sosial Facebook Live, wawancara eksklusif media arus perdana serta sidang pengumuman khas.

"Persoalannya, adakah usaha pembentangan 'new deal' kepada rakyat, benar-benar ikhlas membantu golongan marhaen atau sekadar strategi politik untuk menarik perhatian Seri Paduka Baginda semata-mata?" soalnya.

Susulan polemik politik terkini dilihat semakin menghakis keyakinan rakyat, tumpuan seluruh negara pastinya terarah terhadap hasil keputusan persidangan Yang di-Pertuan Agong bersama Majlis Raja-Raja Melayu yang dijadual diadakan pada Rabu.

Pada saat genting negara mendepani krisis terburuk, tidak keterlaluan rakyat menjunjung harapan kepada Seri Paduka Baginda untuk menjadi benteng penyelamat terakhir bagi mengelakkan negara terjerumus ke dalam malapetaka lebih dahsyat.

"Saya yakin Yang di-Pertuan Agong sudah pasti akan merangka satu 'exit strategi' yang difikirkan perlu untuk mendepani tri-krisis di hadapi negara, termasuk kemungkinan melanjutkan tempoh proklamasi darurat atau penubuhan satu 'task force' yang bebas pengaruh politik,"ujar Achmad Dzariean.

Bagi Anis Anwar pula, apabila peranan institusi beraja dilihat semakin penting, Yang di-Pertuan Agong pastinya akan bertindak dengan lebih berhati-hati dalam mengimbangi amalan Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

"Sifat Seri Paduka Baginda yang berhati-hati ini turut diterjemahkan dengan mengambil kira pandangan Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan barisan pakar-pakar daripada pelbagai bidang serta agensi kerajaan.

"Keprihatinan Tuanku Al-Sultan Abdullah juga memberi bayangan aspek kestabilan politik; kapasiti kesihatan awam; kemampuan kerajaan berbelanja dan keselamatan sempadan negara dalam tempoh ini bakal menjadi keutamaan pertimbangan baginda dalam mengemukakan solusi sebagai Ketua Negara (De Jure) membawa Malaysia kembali kepada situasi yang lebih baik," katanya.