'Kerajaan Perak terima sumbangan telefon pintar tanpa bayaran'

Saarani
Saarani
A
A
A

IPOH - Pemberian telefon pintar yang berkualiti rendah secara percuma kepada pelajar B40 di negeri ini dipersetujui Mesyuarat Exco Kerajaan Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, Yayasan YTL telah datang berbincang dengan kerajaan negeri dan memberi taklimat di dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri mengenai peranti tersebut.

Menurut beliau, selepas penjelasan dibuat mengenai kualiti peranti berkenaan yang didatangkan dengan memori 1GB dan storan 8GB boleh digunakan untuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bersetuju menerima sumbangan tersebut.

"Mereka dah tunjuk sampel telefon itu. Dalam pengetahuan kita, ia mencukupi untuk PdPR dan digunakan secara meluas seluruh Malaysia. Tawaran itu secara percuma tanpa apa-apa bayaran.

"Saya tak pasti punca kenapa ada orang pertikai sumbangan percuma. Kita tak ada 'demand' kerana dalam keadaan susah apa orang bagi kita terima. Kita alu-alukan mana-mana pihak nak beri bantuan secara percuma untuk tujuan pelajaran," katanya kepada pemberita menerusi sidang akhbar secara maya di sini pada Rabu.

Menurut Saarani, semakan juga telah dibuat oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia, Ahmad Saidi Mohamad Daud bahawa telefon yang diagihkan kepada pelajar merupakan model telefon yang sama ditunjukkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum ini.

Saarani berkata, sehingga kini terdapat 13,000 unit telefon yang telah diedarkan kepada pelajar terpilih yang disenaraikan oleh pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh Perak.

Sementara itu, mengenai laporan terdapat telefon sumbangan tersebut yang terbakar, beliau menjelaskan bahawa kes tersebut terpencil dan tidak memerlukan siasatan lanjut oleh pihak kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

"Daripada 100,000 unit yang diedarkan hanya satu terbakar. Takkan itu kita akan jadikan punca untuk buat siasatan lanjut," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Beri telefon pintar kualiti rendah hanya untuk belajar, elak main 'game'

Pada 14 Jun lalu, kerajaan Perak mengakui telefon pintar yang diagihkan secara percuma menerusi inisiatif program Tuisyen Cikgu Saarani adalah peranti berkualiti rendah yang hanya sesuai digunakan bagi tujuan pembelajaran.

Ahmad Saidi menjelaskan telefon hasil sumbangan Yayasan YTL itu tidak sesuai digunakan untuk tujuan lain terutama permainan dalam talian memandangkan sistem dan kapasitinya tidak mampu menampung aplikasi-aplikasi berkenaan.

Kenyataan itu kemudiannya mendapat pelbagai reaksi yang mempertikaikan pemberian peranti tersebut kerana disifatkan tidak patut diberikan kepada golongan B40.

Pada Februari lalu, Saarani mengumumkan bantuan agihan sebanyak 20,000 peranti di bawah inisiatif berkenaan diedarkan kepada semua pelajar kumpulan B40.

Pengagihan peranti itu dibuat melalui semua Pusat Khidmat DUN di seluruh Perak dan dijangka selesai pada penghujung bulan ini.

Setakat ini, tiga kawasan DUN telah menerima agihan telefon pintar Tuisyen Cikgu Saarani iaitu DUN Bukit Chandan, Manong dan Lubuk Merbau yang kesemuanya membabitkan 450 ke 500 peranti.