Pendengaran rayuan Najib dijadual semula ke 11 Ogos depan

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan menetapkan 11 Ogos depan sebagai tarikh baharu bagi mendengar rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengarahkan beliau membuat pembayaran RM1.69 bilion yang tertunggak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Peguam Najib, Wee Yeong Kang ketika dihubungi berkata, rayuan pada mulanya dijadualkan untuk didengar Rabu (hari ini), namun ia dilapangkan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Pendengaran rayuan kini dijadualkan pada 11 Ogos,” katanya selepas perkara berkenaan pada Rabu dijadikan sebagai pengurusan kes secara dalam talian oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Mariam Hasanah Othman.

LHDN diwakili oleh Peguam Kanan Hasil, Al-Hummidallah Idrus.

Pada 22 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai tambahan LHDN bagi tempoh 2011 hingga 2017 berjumlah RM1.69 bilion selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Najib kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Mahkamah Rayuan.

Mengikut Seksyen 103 (2) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ITA), seseorang yang diperintahkan membayar taksiran itu perlu menjelaskan bayaran itu kepada LHDN walaupun rayuan difailkan.

Artikel Berkaitan:

Pada 4 Februari lepas, kerajaan melalui LHDN memfailkan notis kebankrapan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur terhadap Najib selaku penghutang kerana gagal membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion yang ditetapkan Mahkamah Tinggi.

Pada 14 Jun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk menggantung pelaksanaan perintah bahawa beliau perlu membayar cukai tertunggak sebanyak RM1.69 bilion kepada LHDN. - Bernama