Masyarakat kena 'jaga tepi kain orang'

Dera
Dera
A
A
A

SHAH ALAM - Undang-undang sedia ada bagi menangani kes penderaan kanak-kanak di negara ini dilihat telah mencukupi bagi menghukum pesalah.

Namun, apa yang perlu diberi tumpuan oleh kerajaan ketika ini adalah memperkasakan pendidikan bagi memberi lebih kesedaran kepada masyarakat.

Ahli Lembaga Kaunselor Negara, Prof Madya Dr Ruhani Mat Min berkata, masyarakat juga perlu kembali kepada budaya 'menjaga tepi kain orang' , namun dalam sudut yang lebih positif.

"Kita sedia maklum kes penderaan kanak-kanak di negara ini bukan perkara baharu.

"Malah, hukuman yang dikenakan terhadap pelaku juga dilihat setimpal. Tetapi ia tetap berulang kerana masyarakat kita kurang mengambil tahu.

"Kerana mereka mungkin menganggap ia sebagai kesalahan biasa yang mungkin menjadi kaedah buat sesetengah ibu bapa untuk memberi didikan kepada anak-anak," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Ruhani lagi, didikan dan pendedahan secara berterusan kepada masyarakat perlu dilakukan supaya masyarakat lebih prihatin dan mengambil tahu perkara yang berlaku di sekeliling mereka.

"Kempen-kempen di media cetak dan elektronik juga perlu diperbanyakkan lagi supaya masyarakat boleh mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai apa yang dikatakan sebagai penderaan.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin kerajaan boleh kembalikan kempen dalam bentuk drama pendek seperti mana yang disiarkan di televisyen kerajaan beberapa tahun dahulu.

"Saya merasakan kaedah itu agak berkesan untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat," katanya.

Ditanya mengenai kebanyakan kes yang ditangani kuanselor-kaunselor di seluruh negara, Ruhani memberitahu, kebanyakan kes yang dilaporkan adalah melibatkan penderaan dan pengabaian kanak-kanak.