Pusat tuisyen berdepan gulung tikar

Mohd Badrul mengemas kini data pelajar tuisyen yang kini mengikuti pembelajaran dalam talian.
Mohd Badrul mengemas kini data pelajar tuisyen yang kini mengikuti pembelajaran dalam talian.
A
A
A

SEREMBAN - Pengusaha pusat tuisyen melahirkan kebimbangan kemungkinan mereka gulung tikar sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini berlanjutan.

Pengusaha Pusat Tuisyen Impian Bonda (PTIB) dan Impak Bonda, Taman Seri Pulai 3, Mohd Badrul Azhar Zulkapli mengakui aktiviti pembelajaran bersama pelajar di pusat tuisyennya berubah secara total, sebaik arahan PKP dilaksanakan.

"Sepanjang tempoh PKP, banyak urusan pembelajaran secara bersemuka tidak dapat dilakukan, malah pusat tuisyen juga terpaksa ditutup berikutan arahan PKP.

"Kami dan pelajar-pelajar sangat tertekan, malah pengusaha juga menanggung kerugian sejak negara dilanda pandemik, tetapi apakan daya terpaksa akur dengan arahan kerajaan demi keselamatan bersama," katanya kepada Sinar Harian, pada Rabu.

Jelas Penerima Ijazah Kelas Pertama Negeri Sembilan 2012 ini, soal keuntungan bukanlah agenda utama, sebaliknya masa depan pelajar merupakan perkara yang paling membimbangkan.

Katanya, sejak kelas bersemuka tidak dibenarkan, mereka hanya menjalankan kelas tuisyen dalam talian, namun sambutannya agak menyedihkan.

"Pelajar seolah-olah tidak berminat mengikuti kelas dalam talian, mungkin disebabkan kekangan gajet dan data internet, serta perasaan belajar secara bersemuka itu lebih jelas berbanding dalam talian," katanya.

Mohd Badrul tetap ke pusat tuisyen untuk membersihkan kelas yang terbiar sejak hampir tiga minggu lalu.
Mohd Badrul tetap ke pusat tuisyen untuk membersihkan kelas yang terbiar sejak hampir tiga minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohd Badrul, sejak PKP diperkenalkan di negara ini, ramai pengusaha yang senasibnya mula berfikir untuk menutup operasi.

"Ramai pengusaha pusat tuisyen yang kini gulung tikar kerana tidak mampu menampung kos pengurusan dan sewa bangunan yang begitu membebankan.

"Lebih menyedihkan, peperiksaan penting sebelum ini seperti UPSR dan PT3 juga telah dimansuhkan, hanya mengharapkan kepada calon SPM ke pusat tuisyen," katanya.

Sebelum ini, dia mempunyai lebih 20 pelajar dalam satu kelas, tetapi kini hanya 10 ke 15 orang yang mengikuti kelas dalam talian.

"Ada juga ibu bapa yang memberhentikan anak mereka mengikuti kelas tuisyen atas alasan anak-anak tidak berminat belajar dalam talian. Mereka akan sertai semula selepas kelas secara bersemuka dibenarkan," katanya.

Situasi ini katanya, sangat membimbangkan kerana jika tiada lagi pusat tuisyen untuk membantu pelajar yang lemah, dikhuatiri akan memberi kesan kepada pelajar dan sistem pendidikan.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat memberi peluang dan pengecualian kepada pusat tuisyen agar dibenarkan beroperasi, bagi membantu pelajar yang memerlukan kelas tambahan, selain beraksi dalam talian.