X

Kindly register in order to view this article
!

SPRM reman empat individu termasuk pegawai kementerian

Kesemua suspek dibawa ke mahkamah bagi permohonan tahanan reman.
A
A

PUTRAJAYA - Empat individu termasuk seorang pegawai di sebuah kementerian direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung isu tender pembekalan bagi sebuah agensi penguat kuasa yang bernilai RM42 juta.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret, Shah Wira Abdul Halim selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu.

Kesemua suspek berusia antara 32 hingga 61 tahun itu ditahan jam 10 malam, Selasa di Ibu Pejabat SPRM.

Menurut sumber, suspek dipercayai meminta dan membayar rasuah sebanyak lima peratus daripada nilai projek berdasarkan tuntutan kemajuan bagi memperoleh tender perkhidmatan membekal, memproses, mencetak dan mengepos saman sebuah agensi penguat kuasa yang bernilai RM42 juta.

Kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, dalam kes berasingan di mahkamah sama, seorang ahli perniagaan direman selama lima hari selepas dipercayai terlibat dalam pengubahan wang haram.

Suspek berusia 43 telah ditahan jam 5.20 petang, Selasa di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Lelaki itu dipercayai memperoleh wang menerusi penjualan kereta Ferrari bernilai hampir RM1 juta bukan miliknya bagi membeli sebuah kereta Lamborghini bernilai RM1.8 juta untuk dirinya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!