Bahan khayal: Polis sedia buat pemeriksaan restoran

Razarudin Hussain
Razarudin Hussain
A
A
A

IPOH - Polis Perak sedia bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan sekiranya terdapat keperluan mengadakan pemeriksaan di restoran-restoran yang menggunakan kas-kas dalam masakan.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Hussain berkata, meskipun rempah kas-kas dibenarkan penggunaannya dalam masakan, namun ia boleh memberi kesan jika diletakkan secara berlebihan.

“Sekiranya rempah itu diletakkan berlebihan atau bercampur dengan daun dan batang popi yang bergetah, maka ujian saringan air kencing mereka yang memakan hidangan itu akan positif dadah jenis opiat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian sebuah restoran di Jalan Raja, Teluk Intan, Selasa lalu yang diperiksa polis dan Jabatan Kesihatan setelah disyaki meletakkan bahan khayal dalam masakan.

ARTIKEL BERKAITAN:KKM pantau isu pelanggan restoran jadi lemah, khayal

Pemeriksaan sekitar jam 11.20 pagi itu dibuat, selepas beberapa pelanggannya mendakwa berasa lemah, mengantuk dan khayal selepas makan di premis berkenaan.

Kejadian itu tular di media sosial dan turut mendakwa seorang anggota polis dan tiga lagi anggota gagal ujian saringan air kencing selepas makan di premis yang sama.

Razarudin berkata, kesemua sampel rempah yang digunakan pemilik restoran itu telah diambil Jabatan Kesihatan untuk dianalisis.

Katanya, polis kini hanya perlu menunggu laporan patalogi Jabatan Kesihatan Negeri bagi melengkapkan siasatan kes.

“Laporan ujian urin itu diperlukan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 14B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sekiranya terdapat tangkapan suspek berkaitan dadah selepas ini, mereka akan disiasat terlebih dahulu sama ada mempunyai kaitan dengan restoran tersebut.

“Ini bagi memberi keadilan kepada semua pihak sebelum sebarang tindakan lanjut diambil, tapi selalunya apabila tangkapan kes dadah dibuat, kita memang ada sasaran yang kita tahu adalah penagih. Cuma untuk keadilan, kita akan siasat mereka terlebih dahulu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Nasi lambai tidak tutup