X

Kindly register in order to view this article
!

Ronaldo terus jadi nadi Portugal

Cristiano Ronaldo
A
A

PENYERANG Portugal, Cristiano Ronaldo terus menjadi nadi buat pasukan kebangsaannya selepas meledak dua gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Hungary dalam aksi Euro 2020 di Puskas Arena pada awal pagi Rabu.

Dua gol tersebut sekali gus menyaksikan Ronaldo bergelar penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam sejarah kejohanan Eropah dengan merekodkan 11 gol, dua gol mengatasi legenda bola sepak Perancis, Michel Platini yang meledak sembilan gol ketika membawa The Les Bleus melakar kejayaan pada tahun 1984.

Ronaldo berterima kasih kepada rakan sepasukannya yang banyak membantunya meraih kejayaan tersebut selain menjadi pemain pertama yang berjaya menjaringkan gol dalam lima kejohanan Euro yang berbeza.

"Ia kemenangan yang penting kepada pasukan walaupun agak sukar untuk kami beroleh tiga mata itu. Hungary juga bertahan dengan baik dalam tempoh 90 minit.

"Kami berjaya menjaringkan tiga gol dan saya berterima kasih kepada pasukan yang membantu saya menjaringkan dua gol dan menjadi pemain terbaik perlawanan.

"Sangat penting untuk kami berjaya meraih kemenangan ini untuk mendapatkan keyakinan. Kami akan terus memandang kehadapan dan meraih lebih banyak kemenangan," katanya.

Dalam perlawanan itu, Portugal yang juga juara bertahan Euro terpaksa menunggu sehingga minit ke-84 untuk membuka tirai jaringan menerusi gol Raphael Guerreiro pada minit ke-84 sebelum Ronaldo meledak dua gol pada minit ke-87 dan penalti pada masa kecederaan.

Dalam pada itu, pengendali Portugal, Fernando Santos memuji para pemainnya yang berjaya menundukkan Hungary yang memberikan tentangan sengit dalam perlawanan itu.

"Pemain Hungary bijak untuk mengawal ketat Ronaldo. Kami terpaksa bermain dengan strategi berbeza dan tidak boleh hanya melakukan hantaran lintang. Selepas kami menjaringkan gol pertama, Hungary mula membuka permainan.

"Jika kami berjaya menjaringkan gol lebih awal, mungkin akan menjadi mudah. Kami gagal menjaringkan gol awal dan memberikan tekanan kepada pemain, namun kami berjaya bangkit merih kemenangan," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!