LTAM lokasi PPV pandu lalu pertama di Melaka

Rahmad (kiri) ketika meninjau PPV Ayer Molek yang mula beroperasi pada Rabu.
Rahmad (kiri) ketika meninjau PPV Ayer Molek yang mula beroperasi pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam dipilih sebagai lokasi pertama Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu negeri ini yang akan beroperasi tidak lama lagi.

Exco Kesihatan dan Antidadah, Datuk Rahmad Mariman berkata, sebelum ini Dewan Tun Ali dipilih sebagai lokasi pandu lalu, namun berlaku perubahan lokasi bagi memastikan kelancaran dan memberi lebih keselesaan kepada penerima vaksin termasuk membabitkan fasa kedua PPV Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM).

Menurutnya, PPV pandu lalu berkenaan boleh menampung seramai 800 individu setiap hari.

Tambahnya, pemilihan lokasi itu juga sebagai salah satu inisiatif mempercepatkan dan mempergiatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini sekali gus mencapai sasaran 70 peratus rakyat negeri ini selesai divaksin menjelang Disember 2021.

"Pada asalnya, Dewan Tun Ali akan dijadikan PPV pandu lalu, namun atas penilaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tempat itu tidak berapa sesuai disebabkan kesesakan yang sedia ada.

"Jadi kita tukar di LTAM dan perancangan kita, mereka dari PPV CTRM yang dibuka hari ini untuk penerimaan suntikan dos pertama akan mengambil suntikan dos kedua di pandu lalu LTAM," katanya.

Rahmad berkata demikian kepada pemberita ketika sidang akhbar selepas meninjau PPV Ayer Molek di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, PPV itu antara tujuh lagi PPV baharu beroperasi bermula pada Khamis termasuk PPV Japerun Klebang, PPV Sungai Udang, PPV Universiti Teknologi Mara (UiTM) Alor Gajah, PPV Dewan Universiti Multimedia Malaysia (MMU), PPV CTRM dan PPV Dewan MPHTJ Bukit Beruang.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Rahmad berkata, seramai 647 warga emas telah menerima vaksin secara konsep bergerak (unit bergerak) di 20 lokasi pusat jagaan warga emas.

Menurut Rahmad, setakat Isnin lalu, seramai 23,041 individu bagi fasa pertama telah selesai menerima kedua-dua dos vaksin, manakala bagi fasa kedua seramai 51,864 telah menerima dos pertama serta 14, 832 individu menerima suntikan kedua.

"Walaupun bekalan vaksin ada kekurangan, namun kita akan buat permohonan dan setakat ini 38 lokasi PPV termasuk unit mobile dapat menampung seramai 7,500 individu divaksin sehari," katanya.