Raja-Raja Melayu mula tiba di Istana Negara untuk Perbincangan Khas

Sultan Ibrahim berkenan berangkat menghadiri Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja di Istana Negara, pada Rabu. - Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Ibrahim berkenan berangkat menghadiri Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja di Istana Negara, pada Rabu. - Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Raja-raja Melayu mula tiba di Istana Negara di sini bagi menghadiri perbincangan khas yang akan berlangsung pada 2.30 petang ini.

Pemangku Sultan Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam adalah yang terawal dilihat memasuki pintu utama Istana Negara pada jam 11.03 pagi tadi.

Ia diikuti oleh keberangkatan tiba Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar pada 12.03 tengah hari, wakil raja perlis, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (1.58 petang) dan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah (2.08 petang).

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dilihat berangkat tiba pada 2.18 petang; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (2.20 petang) dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah (2.33 petang).

Terakhir tiba ialah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir dengan kenderaan rasmi yang membawanya dilihat memasuki pintu utama Istana Negara pada 3.39 petang tadi.

Difahamkan, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V tidak hadir dalam Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada petang ini.

Sementara itu, antara ketua agensi kerajaan yang dilihat masuk melalui pintu utama Istana Negara ialah Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah pada 1.43 petang; Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang (1.56 petang) dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali (2.00 petang).

Pada Selasa, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Perbincangan Khas itu diadakan bagi menyembah maklum kepada Raja-Raja Melayu berkenaan pandangan dikemukakan oleh pemimpin politik negara.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, beberapa pakar dari agensi kerajaan turut dijadual memberi sembah taklimat mengenai hal-hal berkaitan kesihatan, keselamatan, politik dan ekonomi negara pada Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu itu.

Pada masa sama, media difahamkan Perbincangan Khas itu akan menyentuh mengenai isu situasi Covid-19, pembukaan Parlimen, penubuhan kerajaan perpaduan dan Majlis Gerakan Negara (Mageran) serta jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Bermula pada Rabu lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billal Shah telah berkenan menerima menghadap seramai 18 pemimpin parti politik dalam sesi yang berlangsung secara bersemuka dan maya di Istana Negara.

Selain pemimpin parti politik, Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima menghadap Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021, Tun Arifin Zakaria.

Pada 12 Januari lepas, Al-Sultan Abdullah mengisytiharkan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal sebagai langkah proaktif untuk membendung pandemik Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu berlangsung hari ini