Penduduk Alor Setar tak perlu buat saringan untuk rentas daerah

Ahmad Shukri (kanan) memeriksa kenderaan yang melalui SJR di Tol Alor Setar Selatan yang dibuka semula berkuat kuasa pada Rabu.
Ahmad Shukri (kanan) memeriksa kenderaan yang melalui SJR di Tol Alor Setar Selatan yang dibuka semula berkuat kuasa pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Penduduk dalam daerah Kota Setar tidak perlu lagi membuat saringan untuk merentas daerah sebaliknya hanya perlu mendapatkan kebenaran polis, majikan atau lain-lain pihak berkaitan untuk sebarang urusan keluar masuk daerah.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, arahan berkenaan berkuat kuasa pada Rabu selepas daerah berkenaan ditamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan sejak 19 Mei lalu.

Menurut beliau, pergerakan dalam kenderaan persendirian juga telah dibenarkan untuk dua orang berbanding sebelum ini iaitu hanya seorang.

"Begitu juga dengan aktiviti sukan hanya joging dibenarkan di kawasan kejiranan tetapi masih tertakluk dalam radius 10 kilometer," katanya ketika membuat tinjauan di sekatan jalan raya di Tol Alor Setar Selatan di sini pada Selasa.

Ahmad Shukri berkata, semula laluan di Tol Alor Setar Selatan yang ditutup sepenuhnya sebelum ini ketika tempoh PKPD juga dibuka.

"Di kedua-dua tol ini (Alor Setar Selatan dan Utara) hanya laluan masuk ke Kota Setar kita tempatkan sekatan jalan raya (SJR) manakala laluan keluar adalah bebas.

"Walau bagaimanapun kita akan membuat kajian dari masa ke masa untuk melihat keperluan SJR dan 'check point' sedia ada sama ada akan terus dikekalkan atau sebaliknya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Shukri memeriksa dokumen kebenaran rentas daerah oleh seorang pemandu yang melalui SJR di Tol Alor Setar Selatan.
Ahmad Shukri memeriksa dokumen kebenaran rentas daerah oleh seorang pemandu yang melalui SJR di Tol Alor Setar Selatan.

Beliau berkata, pihaknya juga akan membuat pemantauan di Jeti Kuala Kedah susulan pembukaan semula laluan feri Kuala Kedah - Langkawi pada 18 Jun ini.

"Kita akan membuat pemeriksaan di laluan keluar dan masuk penumpang kerana pada ketika ini pergerakan rentas daerah masih tidak dibenarkan di mana mereka perlukan kebenaran daripada pihak tertentu untuk berbuat demikian," katanya.

Dalam pada itu, katanya, polis daerah Kota Setar telah mengeluarkan 196 kompaun melibatkan pelbagai kesalahan sepanjang pelaksanaan PKPD di daerah berkenaan dalam tempoh 19 Mei hingga 15 Jun.

"Kompaun itu melibatkan pelbagai kesalahan seperti tidak memakai pelitup muka, tiada penjarakan sosial dan lain-lain yang saya rasa tidak patut berlaku kerana kita sudah lebih setahun hidup dalam suasana normal baharu," katanya.