X

Kindly register in order to view this article
!

3 ditahan, kereta masuk longkang selepas dikejar 4 MPV polis

Kenderaan yang dinaiki empat individu yang terbabas ke dalam longkang di Taman Sri Nanding, Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita selepas kereta yang mereka naiki dikejar empat kenderaan peronda polis (MPV) dari Jalan Cheras ke Taman Sri Nanding Hulu Langat di sini pada Selasa.

Kereta jenis Perodua Bezza dinaiki suspek sebelum itu ditahan polis untuk pemeriksaan, bagaimanapun mereka bertindak melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, dalam kejadian kira-kira 5.15 petang itu, satu unit MPV dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras yang sedang membuat rondaan cegah jenayah ternampak sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.

"Kita telah mengarahkan kereta tersebut untuk berhenti, namun pemandunya telah memecut untuk melarikan diri," katanya.

Menurutnya, anggota MPV kemudian memohon bantuan daripada Pusat Kawalan Cheras untuk membantu mengejar dan menangkap suspek.

"Sebanyak tiga unit MPV lain telah dikerahkan untuk membantu menahan kereta berkenaan. Kereta yang dipandu suspek kemudian terbabas ke dalam longkang besar di Taman Sri Nanding," katanya di sini pada Rabu.

Beliau berkata, polis berjaya menangkap dua lelaki dan seorang wanita dalam kereta tersebut dengan bantuan penduduk.

"Bagaimanapun, seorang lagi suspek berjaya melarikan diri dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan," katanya.

Menurutnya, semakan mendapati kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk dadah.

"Saringan awal air kencing juga mendapati ketiga-tiga suspek positif amphetamine dan methamphetamine," katanya.

Muhammad Idzam berkata, ketiga-tiga suspek akan direman bagi membantu siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!