X

Kindly register in order to view this article
!

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

A
A

RINGGIT susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sewaktu dagangan dibuka pada Rabu ketika pasaran berhati-hati menunggu hasil Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja dan mesyuarat Jawatankuasa Terbuka Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) yang diadakan pada Rabu.

Pada 9 pagi Rabu, ringgit susut kepada 4.1180/1210 berbanding dolar AS daripada 4.1160/1185 pada akhir dagangan Selasa.

Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja yang dijadual berlangsung pada 2.30 petang Rabu akan membincangkan perkara berkaitan usaha kerajaan menangani Covid-19 serta pelaksanaannya ketika tempoh darurat pada masa ini.

Sementara itu, mesyuarat dua hari FOMC yang dijadual diadakan lewat Rabu akan menyaksikan pengumuman keputusan Fed AS mengenai kadar faedah.

Mengulas mesyuarat FOMC itu, Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata, walaupun terdapat kemungkinan perubahan kadar faedah, pasaran sebaliknya lebih tertumpu ke arah sebarang petunjuk menerusi keputusan badan penggubal dasar monetari Fed berkenaan.

“Ini termasuk sama ada ia akan mengurangkan rangsangan ekonomi bernilai US$120 bilion sebulan yang sedang dilaksanakan," katanya kepada Bernama.

Menurutnya, jika itu berlaku, ini akan menyebabkan pasaran kewangan mengalami kelemahan ketara kerana memaparkan perubahan besar daripada dasar monetari yang dipraktikkan sejak beberapa tahun lepas.

“Senario sedemikian sudah pasti bukanlah sesuatu yang memberangsangkan untuk dolar AS dan boleh menyebabkan perbandingan dolar AS-ringgit ke paras 4.1700.

“Jika pelan rangsangan itu dikekalkan, ini akan menyaksikan perbandingan itu ke paras 4.0950,” katanya.

Sementara itu, ringgit kebanyakannya rendah berbanding kelompok mata wang utama lainnya pada awal dagangan hari ini.

Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.7973/8015 daripada 5.7933/7968 sewaktu ditutup pada Selasa dan rendah berbanding euro kepada 4.9918/9955 daripada 4.9898/9929 sebelum ini.

Unit tempatan itu hampir tidak berubah berbanding dolar Singapura pada 3.1021/1046 daripada 3.1024/1046 manakala berbanding yen, ia susut kepada 3.7392/7419 daripada 3.7364/7390 sebelumnya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!