Perniagaan digital Axiata dijangka catat keuntungan bermula 2022

Axiata
Axiata
A
A
A

AXIATA Group Berhad (Axiata) Berhad yakin bahawa cabang perniagaan digitalnya berada di landasan yang tepat untuk mencapai keuntungan menjelang tahun 2022.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Axiata, Datuk Izzaddin Idris berkata, persediaan dan kekuatan syarikatnya untuk mencapai sasaran tersebut dapat dilihat melalui beberapa kerjasama strategik jangka panjang yang sedang dan bakal direalisasikan.

Menurutnya, antara kerjasama yang memperkuatkan perkembangan digital Axiata adalah usaha strategik oleh dua syarikat unikorn digitalnya iaitu penyedia perkhidmatan kewangan digital, Boost Holdings dan juga penyedia kepintaran buatan (AI) serta analitik digital, ADA.

“Baru-baru ini telah diumumkan mengenai pelaburan oleh SoftBank Corp sebanyak RM250 juta ke dalam ADA.

“Selain itu, usaha dan visi untuk memacu perkembangan digital yang inklusif di Malaysia juga dibuktikan menerusi kerjasama antara Boost Holdings dengan RHB Banking Group untuk mendapatkan lesen bank digital,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Axiata ke-29 pada Selasa.

Hadir sama pada sidang akhbar yang diadakan secara maya itu ialah Pengerusi Axiata, Tan Sri Ghazzali Sheikh Abdul Khalid.

Izzaddin berkata, untuk menjadikan Axiata sebagai peneraju utama dalam sektor digital negara, ia turut disokong dengan cadangan penggabungan anak syarikatnya, Celcom Axiata Berhad bersama Digi yang telah diumumkan pada April lalu.

Menurutnya, perjanjian penggabungan tersebut dijangka ditandatangani pada akhir suku kedua tahun ini sebelum diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk diluluskan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, Axiata akan terus memberikan komitmen mereka dalam pelaburan terhadap teknologi canggih dengan pembinaan infrastruktur rangkaian yang bakal meningkatkan kepuasan pengalaman pengguna dan masyarakat seiring dengan sokongannya terhadap usaha digitalisasi yang dilakukan oleh kerajaan.

Sementara itu, mengulas mengenai keputusan yang dicapai dalam AGM yang diadakan itu, Ghazzali berkata, kesemua 12 resolusi yang dibentangkan telah berjaya diluluskan dengan sokongan penuh daripada pemegang taruh.

“Dengan sokongan dan keyakinan yang ditunjukkan dalam AGM pada hari ini (Selasa), syarikat dan pihak pengurusan akan menumpukan usaha transformasi melalui Axiata 5.0 dan memastikan syarikat dapat mencapai sasaran operasi dan kewangan yang dirancang.

“Di samping itu, kita juga akan memastikan syarikat memiliki perkembangan yang lestari dan saksama seiring dengan aspirasi untuk menjadi Juara Digital Generasi Akan Datang pada tahun 2024,” jelas beliau lagi.

Pada masa sama, Ghazzali berkata, mesyuarat juga bersetuju supaya Axiata mempercepatkan usahanya untuk melaksanakan langkah ke arah mesra iklim dengan memulakan pembangunan dalam Peta Tindakan Zero Karbon yang dirancang.

Katanya, usaha berterusan Axiata terhadap inisiatif hijau itu juga membolehkan syarikatnya untuk mendapat penarafan ‘A’ oleh MSCI ESG Research.