RCI badan kehakiman: Saya tiada butiran, kata Najib

Kehadiran Najib di Masjid UKM disambut mahasiswa universiti itu.
A
A

BANGI - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mempunyai maklumat mengenai penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi meneliti tuduhan campur tangan dalam kehakiman.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pekan itu mengambil keputusan untuk tidak memberi sebarang kenyataan berhubung perkara berkenaan.

"Tidak tahu lagi butir-butirnya (penubuhan RCI bagi meneliti tuduhan campur tangan dalam kehakiman). Saya tidak tahu apa-apa lagi," katanya ketika ditemui pada Program Sembang Santai Bossku di salah sebuah restoran di sini, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:Kerajaan tubuh RCI siasat salah laku hakim

Terdahulu, kerajaan PH mengumumkan untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat afidavit dikemukakan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Baker berhubung isu rasuah dan salah guna kuasa badan kehakiman.

Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, di mana terma-terma penubuhan RCI itu akan ditentukan kemudian.

Sebelum ini, Hamid dalam afidavitnya setebal 63 muka surat sebagai sokongan kepada permohonan oleh Sangeet Kaur Deo mendedahkan antara lain butiran yang mengejutkan mengenai beberapa kejadian campur tangan hakim dalam badan kehakiman di Malaysia.