Kerajaan disaran beri moratorium setahun bantu peniaga

Peniaga ketika ini berdepan kesukaran untuk menjana pendapatan meskipun kerajaan melonggarkan SOP. Gambar kecil: Rosli
Peniaga ketika ini berdepan kesukaran untuk menjana pendapatan meskipun kerajaan melonggarkan SOP. Gambar kecil: Rosli
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan dicadangkan supaya memberi moratorium selama setahun bagi membantu golongan peniaga yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Presiden Gabungan Persatuan Peniaga dan Penjaja Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, peniaga ketika ini berdepan kesukaran untuk menjana pendapatan meskipun kerajaan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, peniaga dijangka mengambil masa lima tahun untuk bangkit semula daripada kerugian yang dihadapi akibat pandemik Covid-19.

“Selepas pandemik Covid-19 ini dapat kita landaikan, saya minta moratorium setahun. Hutang bank, kad kredit dan sebagainya tahan dahulu. Bukan orang tak nak bayar, masalahnya orang tiada duit untuk bayar.

“Keadaan ekonomi kita bergerak secara perlahan. Walaupun ada pengeluaran daripada kilang, tapi tiada permintaan.

"Permintaan tiada pun disebabkan peniaga tidak boleh berniaga kerana mereka tiada modal,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Ahad, kerajaan memaklumkan bahawa PKP 3.0 yang dilaksanakan sejak 1 Jun lalu akan dinilai semula sekiranya jangkitan harian Covid-19 di negara ini direkodkan pada angka 4,000 kes.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penilaian semula itu bukan bermaksud menamatkan PKP 3.0 sebaliknya lebih kepada kelonggaran SOP.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: PKP 3.0 dinilai semula jika kes harian turun 4,000

Sementara itu, Rosli turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang tidak melaksanakan sekatan menyeluruh ekonomi.

“Pihak kerajaan banyak melakukan kesilapan. Pertama, kenapa kerajaan tidak berani melaksanakan ‘total lockdown’, maksudnya tiada pergerakan. Kalau ini dapat dilakukan, sudah tentu lebih banyak lagi kadar kes jangkitan Covid-19 dikurangkan.

“Maknanya kita mahukan semua industri kilang tidak boleh bergerak (beroperasi),” katanya.