Cameron Highlands sandaran pasaran pekebun

Pekebun mengalami kerugian sejak PKP dilaksanakan dan keadaan bertambah buruk selepas Cameron Highlands dikenakan PKPD. - Foto Bernama
Pekebun mengalami kerugian sejak PKP dilaksanakan dan keadaan bertambah buruk selepas Cameron Highlands dikenakan PKPD. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Cameron Highlands yang menjadi tumpuan pekebun-pekebun dari Perak untuk memasarkan hasil tanaman turut terjejas selepas beberapa lokaliti daerah itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pekebun, M Jegatheesan, 40, berkata, dia yang mengusahakan tanaman seperti timun tikus, labu air, terung dan kacang panjang sejak 14 tahun lalu kini buntu untuk menjual hasil tanamannya.

Menurutnya, dia mengalami kerugian lebih RM6,000 selepas Cameron Highlands yang menjadi pengantara untuk pasarkan sayur ke selatan tanah air sudah tidak beroperasi sejak Isnin.

"Setiap hari kami menjual lebih kurang satu tan pelbagai sayur ke Cameron Highlands untuk dipasarkan ke Melaka dan Johor.

"Apabila turun, kami akan bawa bersama sayur-sayur dari sana seperti tomato, kubis, lada benggala serta bunga untuk dijual kepada peniaga sekitar Ipoh pula," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: PKPD Cameron Highlands: Bekalan sayur mungkin terjejas

Harga sayur-sayuran naik hingga 40 peratus

Jegatheesan berkata, dia kini berusaha untuk memasarkan sayur-sayur tempatan ke pasar-pasar borong utama negeri lain selepas kawasan tanah tinggi itu ditutup.

Artikel Berkaitan:

"Kami berusaha untuk mencari pasaran di Selayang, Selangor dan Sitiawan namun, harga yang 'ditekan' tidak munasabah berbanding Cameron Highlands sekali gus tidak pulang modal.

"Kami pekebun kecil tidak mampu untuk menampung segala kos terpaksa 'melepaskannya' meskipun harga yang ditawarkan oleh orang tengah adalah rendah," katanya.

Kata Jegatheesan, pekebun telah mengalami kerugian sejak PKP dilaksanakan dan keadaan bertambah buruk selepas Cameron Highlands dikenakan PKPD.

"Diharapkan kerajaan negeri dapat membantu pekebun-pekebun kecil dengan mengadakan pelbagai program kerana pasaran kami agak terhad untuk penjualan sayur-sayuran tempatan ini.

"Berbanding PKP tahun lalu, PKP 3.0 kali ini agak sukar dan jika diteruskan mungkin sayur-sayur ini akan menerima nasib sama iaitu dibuang begitu sahaja," katanya.