Peniaga tidak naikkan harga sayur sewenangnya

Pembeli di Kota Bharu memahami kenaikan yang berlaku dan tidak menawarkan harga yang tidak masuk akal.
Pembeli di Kota Bharu memahami kenaikan yang berlaku dan tidak menawarkan harga yang tidak masuk akal.
A
A
A

KOTA BHARU - Harga pasaran sayur-sayuran di beberapa pasar di daerah Kota Bharu menunjukkan sedikit kenaikan.

Antara sayur yang mengalami kenaikan ialah tomato yang mana sebelum ini dijual dengan harga RM4 sekilogram dan kini naik RM1 kepada RM5 sekilogram termasuklah juga sayuran kubis yang turut mengalami kenaikan dan harga sama.

Timun jepun juga dijual lebih daripada harga biasa iaitu RM7 sekilogram untuk gred A dan RM5 sekilogram untuk gred B dan yang paling ketara ialah cili merah kini dijual dengan harga RM12, berbanding harga biasa RM7.50.

Kacang buncis pula dijual dengan harga RM15 untuk gred A dan RM8 untuk gred B, manakala lada benggala juga mencatatkan kenaikan iaitu RM10 sekilogram dan salad pula meningkat RM2 berbanding harga asal RM8 sekilogram.

Peniaga sentiasa memberi penerangan kepada pembeli melibatkan isu kenaikan harga sayur-sayuran.
Peniaga sentiasa memberi penerangan kepada pembeli melibatkan isu kenaikan harga sayur-sayuran.

Tinjauan Sinar Harian di pasar-pasar tersebut juga mendapati ada juga peniaga yang masih mengekalkan harga lama pada sayur-sayuran berkenaan walaupun kenaikan dipercayai bermula dua hari lalu.

Seorang peniaga, Ramlah Awang, 56, berkata, dia masih mengekalkan harga lama memandangkan tidak banyak menjual sayur-sayur yang terlibat dengan kenaikan harga berkenaan.

Dia yang lebih suka menjual ulam-ulaman kampung memberitahu, rata-rata pembeli lebih memilih untuk membeli ulam di kedainya berbanding sayur-sayur moden.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak jual banyak sayur moden sebab risau tidak tahan lama. Ambil sikit-sikit saja. Itu pun belum tentu habis. Harapnya harga barangan lain tak naiklah selepas ini," katanya.

Ramlah bersama barangan jualannya di sebuah pasar di Kota Bharu.
Ramlah bersama barangan jualannya di sebuah pasar di Kota Bharu.

Perkara yang sama diakui seorang lagi peniaga iaitu Siti Rohani Husien, 49, yang memberitahu, kenaikan tersebut biasanya tidak lama dan tidak melibatkan peratus yang tinggi.

"Kalau naik pun 20 hingga 50 sen saja. Ada juga yang naik tinggi, tapi jaranglah. Apa pun, pembeli di sini memahami sebab-sebab kenaikan berlaku," katanya.