'Tawaran Tunku Ismail satu petanda positif'

Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Azlan
Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Azlan
A
A
A

HASRAT pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk membantu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meningkatkan prestasi skuad Harimau Malaya dilihat sebagai satu petanda positif.

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar berkata, kemampuan Tunku Ismail menerajui JDT dengan baik sehingga menjadi kuasa bola sepak Malaysia sejak beberapa musim lalu membuktikan Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu memiliki sentuhan berbisa.

Malah, Azlan memberitahu, kejayaan JDT merangkul 17 piala dalam saingan domestik setakat ini memperlihatkan betapa Tunku Ismail memiliki ramuan tersendiri untuk mengembalikan semula maruah Harimau Malaya.

“Saya menganggap tawaran Tunku Ismail itu sebagai satu perkembangan yang baik kepada pasukan kebangsaan. Peluang harus diberikan kepada Tunku Ismail bagi meningkatkan prestasi pasukan kebangsaan.

“Melihatkan kepada latar belakang dan kebolehan Tunku Ismail mengendalikan JDT, apa yang kita nampak setiap hari, setiap musim ada sahaja perkara baharu dan positif yang diwujudkan.

Skuad Harimau Malaya kini mengharungi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai. - Foto FB FAM
Skuad Harimau Malaya kini mengharungi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai. - Foto FB FAM

“Sukar untuk kita melihat kepincangan dalam pengurusan JDT. Malah, tidak keterlaluan jika saya katakan JDT semakin jauh meninggalkan kelab lain. Semuanya nampak positif dan semuanya bagus.

“Walaupun tidak memegang sebarang jawatan lagi dalam Persatuan Bola Sepak (FAM) tetapi saya percaya hati Tunku Ismail masih membuak-buak untuk melakukan sesuatu bagi menaikkan kembali maruah bola sepak Malaysia,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Azlan berkata, Tunku Ismail harus bersedia dan terbuka menerima setiap pandangan serta kritikan penyokong bola sepak tanah air yang cukup mendambakan kejayaan Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

“Pandangan serta kritikan sememangnya tidak boleh dielakkan dalam dunia bola sepak, apatah lagi peminat bola sepak negara sentiasa memerhatikan perkembangan pasukan Harimau Malaya.

“Itu mungkin bakal ujian besar kepada Tunku Ismail. Pandangan serta kritikan daripada semua pihak ini memang akan berlaku. Namun, saya yakin Tunku Ismail sudah cukup bersedia untuk menghadapi situasi berkenaan,” jelasnya.