Lucut hak premis disewa penjenayah

Sudah sampai masanya kerajaan menggubal undang-undang membolehkan premis sewaan yang digunakan untuk aktiviti jenayah disita dan dilucut hak.
Sudah sampai masanya kerajaan menggubal undang-undang membolehkan premis sewaan yang digunakan untuk aktiviti jenayah disita dan dilucut hak.
A
A
A

ADALAH tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa hari ini, sindiket-sindiket jenayah perjudian dalam talian, penipuan dalam talian dan dadah lebih suka memilih menyewa kediaman rumah dan kondominium ‘gated and guarded’ untuk menjalankan aktiviti jenayah mereka.

Antara sebab mengapa kondominium menjadi pilihan utama ialah kerana mereka boleh beroperasi tanpa mudah dikesan. Kondominium yang disewa juga pada lazimnya diawasi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan untuk memasuki lif ke tingkat premis memerlukan kad akses.

Ada juga yang lengkap dengan alat intercom dan pengesahan wajah di pos kawalan. Di samping itu hampir semua kondominium mempunyai kawalan pengawal keselamatan yang kadang-kadang menjadi mata dan telinga sindiket.

Bagi pemilik premis pula, jarang sekali mereka akan menyelidik latar belakang penyewa atau pekerjaan penyewa. Yang penting ialah keupayaan penyewa membayar sewa.

Selagi sewa dibayar tanpa tunggakan, tepat masa dan tidak banyak kerenah, tuan punya premis jarang sekali mahu mengambil tahu siapa lagi yang tinggal atau aktiviti apa yang dijalankan di premis yang disewakan. Jika ada sekalipun kemungkinan besar ialah pemilik premis mengambil pendekatan buat tidak tahu.

Oleh itu, sudah sampai masanya untuk kerajaan menggubal undang-undang membolehkan premis sewaan yang digunakan untuk aktiviti jenayah, tidak kira sama ada rumah, kondominium, kedai atau gudang disita dan dilucut hak.

Dengan adanya undang-undang yang membolehkan premis yang disalah guna disita dan dilucuthak, ia akan membuat pemilik premis lebih berhati-hati dalam menyewa premis mereka khususnya kepada penyewa warga asing.

Nescaya, pemilik premis akan lebih bertanggungjawab dalam menyemak latar belakang penyewa dan jika premis yang disewakan ialah kedai atau gudang sudah tentu pemilik akan ambil tahu aktiviti perniagaan yang dijalankan di premis tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kesimpulannya, pemilik premis memikul tanggungjawab untuk memastikan premis yang disewakan tidak disalahgunakan penyewa.

Pada masa ini, terdapat beberapa akta undang-undang seperti Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Dari Aktiviti Haram (AMLA) 2001 dan juga Akta Dadah Berbahaya (Lucut Hak) 1988, yang membolehkan kerajaan membeku, menyita dan melucut harta yang diperolehi hasil jenayah.

Namun, akta-akta ini terpakai kepada mereka yang memperolehi harta hasil kegiataan jenayah dan tidak terpakai untuk menyita dan melucuthak premis sewaan yang digunakan untuk aktiviti jenayah.

Oleh yang demikian, kerajaan wajar menggubal undang-undang atau membuat pindaan pada undang-undang sedia ada bagi membolehkan premis sewaan yang digunakan untuk aktiviti jenayah juga disita dan dilucuthak.

Pemilik premis tidak boleh memberi alasan tidak tahu apa yang berlaku di premis yang disewakan.

* Norman Fernandez adalah seorang pengamal undang-undang