Hebatkah berjaya secara sendirian?

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

BARU-BARU ini saya mengikuti ceramah mengenai pentingnya solat berjemaah. Ucap penyampainya, solat berjemaah yang membawa pahala 27 kali ganda berbanding dengan solat bersendirian itu besar maknanya jika perbuatan berjemaah itu dipraktikkan di luar solat.

Benar kata ustaz. Apa yang kita lihat pada hari ini ialah betapa para jemaah ‘bertebaran di muka bumi,’ yang dalam konteks ini menyambung urusan masing-masing secara sendirian.

Kita menjadi individualistik semula dalam kehidupan seharian. Kita hanya bertaut untuk solat jemaah semata-mata. Urusan muamalat setelah itu tak ikut cara Nabi Muhammad SAW dan para sahabat.

Kehidupan kita yang sendiri-sendiri itu ditambah pula dengan keadaan pandemik Covid-19 bilamana kita menjaga jarak fizikal, mengucap salam dengan kenalan hanya dari jauh, menghulur senyuman diberi di sebalik topeng muka, malah terasing duduk di rumah.

Bersendirian itu sebenarnya melemahkan fikiran dan perlahan-lahan menjadikan kita anti-sosial pula. Kita hanya dapat perhati dunia melalui kaca televisyen dan berbual melalui telefon. Rumah, yang dahulunya sarang, kini jadi penjara. Akhirnya, kerana kurang berinteraksi dan merujuk dengan orang di sekeliling, kita lemah dalam menaakul sesuatu perkara. Kebenaran itu bergantung kepada maklumat mana yang lebih banyak kita terima.

"Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala kepada manusia, samalah seperti serigala kepada kambing, ia akan memakan kambing yang jauh terpencil daripada kumpulannya, maka berhati-hatilah kamu dan hendaklah kamu sentiasa bersama-sama dengan jemaah dan orang ramai." (Hadis riwayat Ahmad)

Bila direnung kepada hadis ini, kita bimbang betapa kian sehari iman kita semakin menipis. Oleh kerana tiada kawan-kawan, geng mahupun team untuk duduk bersama-sama bertukar-tukar fikiran, amal kita semakin kurang. Malangnya, sebahagian besar daripada kita tidak berasa pelik dengan keadaan ini.

Kita berasa okey sahaja bila kita bersendirian secara zahir kerana segala bentuk komunikasi dengan sesiapa sahaja di dunia ini boleh dijangkau dengan hujung jari. Malah, bersendirian itu disamakan dengan sifat anak jantan. Tidak keterlaluan bila dikatakan bahawa menjalankan aktiviti secara solo itu adalah sikap terbaik sebab kita diuar-uarkan dengan kegagahan hero yang berjaya bila bertindak sendirian.

Artikel Berkaitan:

Terlalu banyak dialog yang menggambarkan kehandalan seseorang bila dapat menyelesaikan masalah secara berseorangan. Dialog hero-hero fiksyen Hercules, Spider-Man, Wolverine, Daredevil, Rambo, Jason Bourne dan James Bond memang tidak lekang dengan dialog, ‘I work alone,’ bagi menggambarkan bahawa bersendirian itu macho!

Justeru itu, kita berasa kita terhebat menjadi johan kerana kita seorang yang berjaya mencapai puncak. Kita menang perlumbaan, kita julang piala dan kemasyhuran sambil mendabik dada diiringi tepukan orang ramai yang jauh di bawah. Selepas itu, apa?

Hebatkah menjadi seorang tokoh di puncak sedangkan mereka di bawah tidak mampu memanjat ke atas dan si tokoh pula tidak mahu menjejak ke tanah? Logiknya jika seseorang boleh mengangkat sekeping papan, sekumpulan manusia boleh mengangkat dan memindahkan sebuah rumah. Di mana kekuatan bila sendirian?

Benar, bergerak bersendirian untuk ke puncak itu lebih pantas. Tetapi bukankah puncak itu tempatnya sunyi? “If you want to walk fast, walk alone. But if you want to walk far, walk together.” Begitulah mutiara kata Ratan Tata, tokoh bisnes Kumpulan Tata dari India.

“Wajiblah kamu bersama-sama dengan jemaah dan berwaspadalah kamu terhadap perpecahan." (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Akhir-akhir ini, dalam apa jua bidang pun, ramai sangat hendak jadi hero sebab hero itu seorang dan seorang itu hebat. Tetapi, bukankah itu sikap individualistik yang bukan dari ajaran Nabi Muhammad SAW?

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian