X

Kindly register in order to view this article
!

RM116,945 'melayang' terpedaya pinjaman kadar faedah rendah

Gambar hiasan
A
A

SEREMBAN - Seorang peniaga terpaksa berputih mata selepas kerugian RM116,945 akibat ditipu oleh dua sindiket pinjaman wang tidak wujud dalam kejadian di Mantin dekat sini baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Abd Ghani berkata, wanita berusia 40 tahun itu dipercayai berurusan dengan seorang individu melalui aplikasi WhatsApp selepas terpedaya dengan tawaran pinjaman yang mengenakan kadar faedah serendah 1.38 peratus dalam Facebook pada 7 Jun.

“Pengadu diminta menghantar butir peribadi serta mengisi borang permohonan secara dalam talian selain perlu menunggu selama tiga hari untuk kelulusan pinjaman bank kemudian pada Khamis lepas, dia menerima e-mel menyatakan pinjaman RM100,000 diluluskan," menurutnya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, semasa proses kelulusan itu, pengadu diperdaya untuk membuat beberapa pembayaran ke dalam tiga akaun dengan jumlah kerugian RM42,425.

Wanita itu sekali lagi terpedaya dengan tawaran yang sama dengan sindiket kedua dan berurusan dengan individu berlainan untuk memohon pinjaman RM100,000 pada 8 Jun serta berdepan situasi serupa yang menyaksikan mangsa membuat transaksi ke beberapa akaun bank seperti diarahkan sehingga kerugian RM74,520.

Aibee berkata mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Mantin pagi tadi dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!