X

Kindly register in order to view this article
!

Olimpik: Tuah nombor lima buat Mun Yee?

MUN YEE
A
A

TOKYO bakal menjadi Sukan Olimpik yang kelima dan terakhir bagi penerjun negara Lee Mun Yee dan dia berharap terjunannya kali ini bakal menyumbang pingat buat negara.

Dengan kurang dari 40 hari berlangsungnya Sukan Olimpik Tokyo, ratu terjun berusia 36 tahun itu lebih yakin untuk menggenggam pingat Olimpik pertamanya sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada temasya pelbagai sukan terbesar di dunia itu.

“Saya harap saya boleh menyumbang sebutir pingat untuk Malaysia di Olimpik Tokyo,” katanya kepada Bernama.

Mun Yee yang mewakili Malaysia di Sukan Olimpik Sydney 2000, Athens 2004, Beijing 2008 dan London 2012 bersedia untuk bertanding dalam acara 10 meter platform serirama wanita di Tokyo dengan pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, Pandelela Rinong.

Kedua-dua mereka menempah tiket ke Tokyo selepas memenangi pingat perak dalam 10m platform seirama wanita dengan mengumpul 312.72 mata di Kejohanan Terjun Dunia FINA ke-18, Gwangju, Korea Selatan pada Julai 2019.

Olimpik Tokyo mungkin merupakan sukan Olimpik terakhirnya tetapi anak kelahiran Ipoh itu masih tidak pasti bilakah dia akan menamatkan kerjayanya sebagai penerjun negara.

Pada masa ini, Mun Yee berkata, dia menumpukan kepada latihan pusingan terakhirnya walaupun berasa sedikit kecewa kerana tidak dapat berlatih di seberang laut sepertimana rakan sepasukannya sebelum ini.

Mun Yee yang kali terakhir bertanding di Piala Dunia Terjun FINA 2021 di Tokyo, April lepas, menzahirkan kebimbangannya mengenai kurang penyertaan di dalam pertandingan sebelum Olimpik berikutan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, dia berharap penerjun negara akan menggunakan acara pertandingan dalam talian yang berlangsung nanti untuk mendapatkan kembali prestasi terbaik mereka menjelang Olimpik Tokyo dari 23 Julai hingga 8 Ogos.

Mun Yee yang menjadi penerjun sejak berusia 10 tahun, antara penerjun negara paling berjaya dan membawa pulang pelbagai pingat termasuk perak di Sukan Komanwel 2010 di India, gangsa di Sukan Asia Korea Selatan 2014 dan dua emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Mun Yee juga merupakan penerjun Malaysia pertama bersama Pandelela memenangi gangsa menerusi 10m platform seirama wanita di Kejohanan Dunia FINA 2019 di Rome, Itali selain mengukir sejarah apabila Malaysian Book of Records menamakan Mun Yee sebagai atlet wanita pertama yang layak ke empat temasya Sukan Olimpik pada 2012.

Hanya jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei dan pelayar negara, Kelvin Lim bertanding dalam empat Sukan Olimpik, setakat ini. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!