Perlukah siling kaca?

A
A
A

SILING yang diperbuat daripada kaca memperlihatkan pelbagai kejadian di langit ciptaan Tuhan. Seseorang hanya mampu melihat dari kejauhan keindahan dan cabaran di sebalik siling kaca tetapi tidak berupaya menembusi atau menggapainya kerana terhalang dek siling tersebut.

Inilah yang dipanggil fenomena siling kaca yang sering kali diperkatakan dalam dunia pengurusan organisasi. Istilah ‘siling kaca’ biasanya dijadikan metafora bagi menggambarkan penghalang kemajuan dan peningkatan wanita dalam mencapai jawatan kepimpinan utama atau peringkat pembuat dasar dalam sesebuah organisasi. Ia juga seakan suatu lapisan diskriminasi yang wujud bagi menafikan hak dan keupayaan wanita.

Ada pihak beranggapan metafora siling kaca tidak lagi relevan pada masa kini. Mengambil fenomena pasaran buruh di Malaysia, wanita di Malaysia umumnya telah berjaya meningkatkan penyertaan mereka dalam pasaran pekerjaan. Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, 2016 menunjukkan penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan meningkat kepada 54.3 peratus.

Trend ini berhubung rapat dengan pola penguasaan pelajar wanita yang mengisi institusi pendidikan tinggi tempatan yang mana nisbah pelajar perempuan dan lelaki ialah 70:30. Laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi tahun 2016 pula menunjukkan jumlah pelajar wanita di IPT tempatan telah mengatasi jumlah pelajar lelaki iaitu seramai 335,254 (62.01% daripada 540,638 orang mahasiswa keseluruhannya).

Perangkaan ini menunjukkan bahawa pasaran buruh pada masa hadapan bakal dikuasai oleh wanita, dan tidak mustahil mereka juga akan menerajui kepimpinan organisasi di Malaysia.

Dari perspektif teori pengurusan sumber manusia, bakat dan kelayakan seseorang harus digilap sama rata dan mereka perlu mempunyai peluang yang sama untuk mengisi jawatan utama dalam organisasi tanpa mengira jantina. Namun, hakikat ini dinafikan atas pelbagai hipotesis dangkal.

Antara hipotesis popular adalah bos wanita sering beremosi dan perwatakan mereka menyebabkan pekerja bawahan berasa tertekan, seterusnya menggugat produktiviti.

Beberapa kajian mengenai isu ini telah dijalankan dan dapatan menunjukkan memang terdapat perbezaan antara gaya kepimpinan lelaki dan wanita. Penemuan kajian menunjukkan kaum wanita lebih liberal dan demokratik semasa menjalankan tugas. Mereka lebih cenderung dan berkebolehan mempengaruhi orang lain serta memotivasi pekerja melalui transformasi minat kendiri pekerja ke arah pencapaian objektif organisasi.

Artikel Berkaitan:

Gaya kepimpinan kaum lelaki sebaliknya lebih menyukai kaedah ‘memerintah dan mengawal’ pekerjanya. Lelaki amat bergantung kepada autoriti yang dimiliki menerusi jawatan yang disandang. Walau bagaimanapun, dapatan kajian terkini menunjukkan gaya kepimpinan kaum wanita yang liberal semakin berubah mengikut masa dan persekitaran.

Walaupun penemuan kajian menunjukkan terdapat perbezaan gaya kepimpinan mengikut jantina, ia tidak semestinya sentiasa berlaku dalam setiap organisasi. Memang tidak dinafikan bahawa terdapat pemimpin wanita yang mengamalkan gaya kepemimpinan yang ‘keras’ sama seperti pemimpin lelaki dan pada masa sama terdapat juga pemimpin lelaki yang mengamalkan kepimpinan lebih liberal dan demokratik.

Hal ini berlaku akibat pengaruh perbezaan individu, gaya kepimpinan dan faktor persekitaran. Jadi, pada hemat penulis adalah amat tidak adil jika siling kaca diwujudkan khusus untuk wanita disebabkan faktor perbezaan individu, gaya kepimpinan dan faktor persekitaran yang turut memberi dampak kepada bos lelaki.

Fenomena siling kaca wujud di mana-mana dan sukar dihentikan. Persoalannya, mampukah wanita memecahkan siling kaca yang menjadi penghalang kemajuan kerjaya mereka? Tidaklah menjadi rahsia lagi bahawa hanya segelintir kecil wanita berjaya menembusi siling kaca tersebut.

Namun, kejayaan ini diiringi oleh pelbagai cabaran dan rintangan dek kerana mereka ini wanita... Di samping menggalas tanggungjawab dan peranan sebagai pekerja profesional, wanita tidak dapat melarikan dirinya daripada berperanan sebagai ibu dan isteri di rumah. Kepelbagaian peranan ini sedikit sebanyak mempengaruhi pencapaian mereka dalam memecahkan siling kaca.

Harus diingat bahawa setiap insan mempunyai peranan masing-masing di atas muka bumi ini. Wanita umpamanya, bukanlah lagi ‘penghuni tetap’ ceruk dapur semata-mata tetapi mereka turut berperanan penting dalam pembangunan negara. Kredibiliti mereka tidak boleh diremehkan kerana mereka kini boleh duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan kaum lelaki.

Kaum lelaki pula tidak boleh berlengah lagi dan perlu meninggalkan andaian bahawa keperluan syarat atau kelayakan akademik mereka boleh lebih rendah berbanding wanita bagi membolehkan mereka menjawat jawatan tertinggi, hanya kerana mereka adalah lelaki! Sebaliknya, kaum lelaki dan wanita perlu sama-sama bersaing secara sihat dalam usaha mengiktiraf bakat, kelayakan akademik dan pembangunan modal insan.

* Penulis Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia