Apartmen mewah jadi 'sarang' hisap dadah diserbu

Polis melakukan pemeriksaan di lokasi serbuan pertama di sebuah apartment mewah di Jalan Chain Ferry di sini, pada Selasa.
Polis melakukan pemeriksaan di lokasi serbuan pertama di sebuah apartment mewah di Jalan Chain Ferry di sini, pada Selasa.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seramai tujuh individu termasuk dua perempuan ditahan bersama sejumlah dadah dalam tiga serbuan berasingan di sebuah apartmen mewah di Jalan Chain Ferry di sini, pada Selasa.

Serbuan kira-kira jam 9 pagi itu dilakukan selepas menerima maklumat daripada penduduk mengenai aktiviti mencurigakan yang dilakukan kumpulan terbabit.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah dan menahan seorang perempuan bersama dua orang lelaki termasuk salah seorang yang masih bawah umur.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dilakukan menemui plastik lut sinar mengandungi dadah jenis syabu seberat segram dan pil eramin 5 di dalam rumah berkenaan.

"Selain kesalahan memiliki dadah, ketiga-tiga individu terbabit juga didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berkumpul tanpa penjarakan sosial selain mengadakan aktiviti dengan kehadiran ramah dan masing-masing dikompaun RM4,000.

"Hasil soal siasat dijalankan mendapati rumah berkenaan disewa oleh perempuan terbabit bersama tunangnya sejak tiga bulan lalu dengan bayaran RM1,800 sebulan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.

Susulan daripada tangkapan itu membawa kepada serbuan di sebuah unit inap desa di tingkat atas dengan menahan seorang lelaki yang merupakan teman lelaki perempuan berkenaan.

Noorzainy berkata, hasil siasatan mendapati lelaki berusia 23 tahun itu menyewa inap desa dengan bayaran RM100 sehari dan mendaftar masuk seawal jam 4 pagi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pemeriksaan dibuat menemui dua peket lut sinar yang mengandungi dadah jenis syabu seberat 6.6 gram.

"Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki berkenaan telah melakukan pergerakan melebihi radius 10 kilometer daripada rumah bukan untuk mendapatkan keperluan makanan dan dikompaun RM5,000.

"Lanjutan siasatan yang dilakukan membawa tangkapan seorang lelaki dan teman wanitanya di kawasan parkir apartmen berkenaan dan merampas dua peket lut sinar dadah syabu seberat 2.2 gram.

"Selain itu mereka juga didapati melanggar SOP dengan menaiki kenderaan sama yang bukan isi rumah dan dikompaun RM2,000 setiap seorang," katanya.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati kesemua suspek lelaki positif dadah manakala tangkapan perempuan negatif.

Tambahnya, semakan dibuat kesemua mereka mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kesalahan dadah dan jenayah.

"Kita percaya mereka menjadikan apartmen berkenaan sebagai 'sarang' mengambil dadah dan kesemua tangkapan direman untuk tindakan lanjut," katanya.