NSFC bakal lengkapkan vaksinasi sebelum Liga Premier bersambung

Barisan pemain NSFC telah mendapat suntikan dos pertama vaksin Covid-19 baru-baru ini. - FB NSFC
Barisan pemain NSFC telah mendapat suntikan dos pertama vaksin Covid-19 baru-baru ini. - FB NSFC
A
A
A

PIHAK pengurusan Negeri Sembilan FC (NSFC) menarik nafas lega apabila pemain dan pegawai pasukan itu telah mendapat suntikan dos pertama vaksin Covid-19 baru-baru ini.

Pengurus Besar NSFC, Firdaus Bhari berkata, 25 pemain dan lapan pegawai pasukan menerima suntikan vaksin Sinovac dan dijangka melengkapkan dos kedua pada 1 Julai depan, tiga hari sebelum aksi Liga Premier menentang Selangor FC 2.

Beliau berkata, pengambilan vaksin tersebut dibantu program vaksinasi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang memberikan perlindungan tambahan kepada pemain dan pegawai dalam menghadapi baki saingan liga.

“Bagaimanapun, pengambilan vaksin bukanlah tiket buat kami untuk mengambil ringan terhadap pematuhan SOP (prosedur operasi standard) yang telah ditetapkan. Pengambilan vaksin hanya langkah pencegahan kerana peluang untuk mendapat jangkitan Covid-19 tetap ada.

“Jadi, kami akan terus mengekalkan disiplin semasa latihan berpusat dengan tidak memberikan kebenaran kepada pemain atau pegawai berjumpa dengan pihak luar,” katanya dalam satu kenyataan MFL pada Selasa.

Skuad kendalian K Devan itu yang kini menginap di salah sebuah hotel di Seremban 2, menjalani latihan berpusat di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dan Padang Sintetik Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).

Sebelum ini, Sri Pahang FC; Terengganu FC; Kedah Darul Aman FC; Sabah FC; Perak FC; Perak FC II dan Skuad Projek FAM-MSN merupakan antara pasukan yang telah menerima vaksin.

Firdaus turut berharap lebih banyak pasukan mendapatkan vaksinasi sebagai langkah pencegahan terbaik bagi memastikan Liga Malaysia dapat berlangsung mengikut jadual dirancang.

Artikel Berkaitan:

NSFC berada di tangga kedua Liga Premier dengan 22 mata selepas 11 perlawanan setakat ini, ketinggalan hanya satu mata di belakang Sarawak United FC. - Bernama