X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga lelaki terjun laut tinggal 4.3kg syabu dalam bot

Gambar hiasan
A
A

TAWAU - Tiga lelaki yang membawa 4.3 kilogram (kg) dadah jenis syabu di dalam bot dinaiki mereka nekad terjun ke laut berhampiran kawasan rumah atas air di Kampung Hidayat dekat sini selepas dihampiri Pasukan Polis Marin (PPM) malam Isnin.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintenden Mohd Nazari Ismail berkata, pihaknya yang menjalankan rondaan pada 8.42 malam itu mengesan bot dinaiki tiga lelaki berkenaan dan apabila dihampiri suspek terjun ke laut serta melarikan diri bagi mengelak dicekup pihak berkuasa.

"Pemeriksaan awal terhadap bot terbabit menemukan satu beg yang di dalamnya berisi lima bungkusan hitam pelbagai saiz mengandungi syabu," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Mohamad Nazari berkata, kesemua barang rampasan terbabit termasuk sebuah bot fiber dan perahu kayu bersama dua unit enjin sangkut dianggarkan bernilai RM426,725 dibawa ke Pangkalan PPM Tawau untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes itu akan dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!