Konon disamun, rupanya 'terguna' lebih RM86,000 wang majikan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Tindakan seorang jurujual sebuah kilang membuat laporan palsu kononnya disamun membawa padah apabila didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Nerang di sini pada Selasa.

Majistret Hadi Hakimi Harum menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh, Zulkifli Mohd Noor, 28, selepas dia membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Zulkifli dituduh membuat laporan palsu mendakwa disamun dua lelaki di Bukit Sejuk Jalan Naka, Naka ketika dalam perjalanan balik ke rumah dari Felda Lubuk Merbau ke Pekan Naka lebih kurang jam 8.15 malam pada 31 Mei lalu.

Tertuduh didakwa membuat laporan palsu bahawa suspek telah mengambil satu beg berwarna hitam diletakkan atas kerusi penumpang hadapan yang di dalamnya mengandungi wang tunai berjumlah RM105,064.90 selepas menumbuknya di perut lalu melarikan diri.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih enam bulan dan juga denda sehingga RM2,000.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, lelaki berkenaan ditahan lebih kurang jam 1 pagi pada 1 Jun selepas mengaku membuat pengakuan laporan polis yang mendakwa dirinya disamun adalah palsu.

Katanya, lelaki berkenaan mengaku membuat laporan kerana mahu mencari penyelesaian setelah menggelapkan wang milik majikan syarikat tempatnya bekerja.

Wang yang didakwa disamun jelasnya, adalah wang sepatutnya diserahkan kepada majikan.

Artikel Berkaitan:

Mulkiaman berkata, wang berkenaan merupakan hasil kutipan bulanan sejak awal tahun daripada pelanggan, bagaimanapun sebahagiannya digunakan lelaki itu untuk kegunaan peribadi setiap kali membuat kutipan.

Katanya, suspek mengaku terdesak menggunakan lebih RM86,000 setelah wang tunai yang ada cuma berbaki RM13,316 dari jumlah yang sepatutnya diserahkan kepada majikan adalah RM100,000.

"Akibat desakan tersebut suspek telah membuat laporan polis palsu bahawa dia telah disamun," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, pihaknya membuat rampasan baki wang dalam beg sandang sebanyak RM13,316 yang ada pada suspek mengikut peruntukkan Seksyen 27 Akta Keterangan berdasarkan pengakuan oleh suspek.

"Turut dirampas, lima keping invois jualan atas nama syarikat, satu buku bil dan sebuah kenderaan jenis Waja,"katanya.