X

Kindly register in order to view this article
!

MSM akhiri kerugian enam hari ditutup tinggi petang ini

Gambar hiasan
A
A

KONTRAK niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives mengakhiri kerugian yang dialami selama enam hari untuk ditutup tinggi petang ini.

Prestasi yang dipamerkan ini didorong oleh kenaikan semalaman di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) yang mana pasaran minyak sawit tempatan turut mendapat tempiasnya.

Pedagang minyak sawit, David Ng berkata, beberapa aktiviti membeli ketika harga murah telah membantu melonjakkan harga komoditi itu sebelum sesi urus niaga berakhir hari ini.

“Justeru, kami mengunjurkan paras sokongan seterusnya pada RM3,500 dan halangan pada RM3,650,” kata beliau kepada Bernama.

Sementara itu, OCBC Bank menjangkakan harga MSM mungkin mencecah RM3,800 satu tan dalam suku ketiga dan keempat 2021, menyaksikan harga purata pada RM3,678 satu tan tahun ini untuk komoditi berkenaan.

Bank itu dalam laporannya mengenai tinjauan komoditi untuk tahun 2021 yang dikeluarkan hari ini turut menyatakan MSM mencecah RM3,612 satu tan pada suku pertama 2021 dan dijangka mencapai paras RM3,500 satu tan pada suku kedua 2021.

Data Intertek Testing Services pula menunjukkan eksport untuk tempoh 1 hingga 15 Jun menyusut 3.8 peratus kepada 658,900 tan daripada 685,114 tan dalam tempoh yang sama bulan Mei 2021.

Sementara itu, juruukur Amspec Malaysia berkata, eksport bagi tempoh 1 hingga 15 Jun merosot 6.2 peratus kepada 652,770 tan daripada 695,764 tan dalam tempoh yang sama bulan lepas.

Pada penutupan urus niaga, kontrak niaga hadapan MSM untuk Jun 2021 ialah pada RM3,559 satu tan, Julai 2021 meningkat RM235 kepada RM3,642 satu tan, Ogos 2021 melonjak RM208 kepada RM3,580 satu tan dan September 2021 menokok RM174 kepada RM3,542 setan.

Jumlah dagangan menyusut kepada 87,859 lot daripada 124,780 lot pada Isnin sementara kepentingan terbuka turun kepada 265,802 kontrak daripada 304,702 kontrak sebelumnya.

Harga fizikal MSM untuk Selatan Jun mengukuh RM250 kepada RM3,750 satu tan. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!