'Sinar yang lebih cerah di hujung terowong'

Muhyiddin ketika mengumumkan Pelan Pemulihan Negara: Peralihan Fasa PKP secara berperingkat yang disiarkan secara langsung di stesen-stesen televisyen pada Selasa. - Foto Bernama
Muhyiddin ketika mengumumkan Pelan Pemulihan Negara: Peralihan Fasa PKP secara berperingkat yang disiarkan secara langsung di stesen-stesen televisyen pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin hasrat Malaysia untuk keluar daripada krisis pandemik Covid-19 ketika ini semakin 'cerah'.

Beliau berkata, keyakinan itu bersandarkan pada penerimaan bekalan vaksin yang lebih banyak dan pelaksanaan proses vaksinasi yang semakin rancak ketika ini.

"Kita telah dapat melihat sinar yang lebih terang di hujung terowong. Pada permulaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), kadar vaksinasi adalah sekitar 5,000 hingga 8,000 dos sehari.

"Ia telah meningkat ke 50,000 hingga 80,000 sekitar bulan Mei. Malah semalam (Isnin), kadar vaksinasi telah mencecah 197,963 dos dan saya yakin usaha ini akan terus dipertingkatkan hingga lebih 300,000 dos sehari dalam bulan-bulan mendatang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan khas Pelan Pemulihan Negara yang disiar secara langsung melalui stesen televisyen tempatan pada Selasa.

Jelasnya, situasi ketika ini berbeza dengan apa yang dilalui negara pada tahun lalu dengan hanya melihat 'total lockdown' satu-satunya cara untuk memutuskan jangkitan wabak tersebut pada ketika itu.

"Keadaan ini amat berbeza sekali dengan situasi lebih setahun yang lalu apabila kita melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat kali pertama di mana kita masih belum mempunyai vaksin.

"Satu-satunya jalan keluar pada masa itu ialah lockdown dan tindakan kesihatan awam untuk memutuskan rantaian jangkitan," katanya.

Artikel Berkaitan: