X

Kindly register in order to view this article
!

Pembaharuan struktur pasca pandemik dibincang esok

Foto 123RF
A
A

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Menteri-Menteri Pembaharuan Struktur (SRMM) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ketiga yang akan dihoskan oleh New Zealand secara maya pada 16 Jun ini, berhasrat meningkatkan usaha pembaharuan struktur APEC bagi menyokong pembaharuan domestik dalam kalangan ekonomi anggota.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, mesyuarat itu akan memberi tumpuan kepada peranan pembaharuan struktur yang dirancang untuk menyokong pemulihan ekonomi pasca pandemik.

“Menteri-menteri dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai bagaimana pembaharuan struktur akan dilaksanakan ke arah pemulihan ekonomi yang inklusif, lestari dan dipacu inovasi,” menurut kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Menteri Kanan merangkap Menteri MITI, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan timbalan menteri berkenaan, Datuk Lim Ban Hong akan menghadiri mesyuarat itu yang akan dipengerusikan Menteri Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna New Zealand, Dr David Clark.

Menteri-menteri dan para pegawai daripada 21 ekonomi APEC dijangka menyertai mesyuarat itu, mesyuarat menteri-menteri kedua yang dihoskan New Zealand selaku penganjur APEC 2021.

MITI berkata, perbincangan mengenai SRMM ketiga itu akan berpandukan tajuk-tajuk tertentu yang akan disampaikan menteri-menteri dan penceramah utama iaitu pemulihan hijau yang menyokong pembaharuan struktur untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dan pemulihan daripada kejutan ekonomi; pembaharuan struktur dan pemulihan daripada kejutan ekonomi; dan saling mempengaruhi antara dasar ekonomi mikro dan makro bagi pemulihan yang berkesan daripada kejutan ekonomi.

“Malaysia meletakkan kepentingan bagi agenda pembaharuan struktur dalam APEC.

“Tahun ini, Malaysia bersama Kanada akan memperjuangkan tugasan ‘Menyelesaikan Ketakmampuan bayar,’ satu daripada lima penunjuk dalam Pelan Tindakan Memudahcara Perniagaan (EoDB) APEC ketiga, yang akan dilaksanakan dalam SRMM yang akan datang,” kata MITI. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!