Karangkraf Medicare wakaf pelitup muka

Dari kanan: Hashim, Raja Shahfaizal, Loy Sian dan Saroni pada majlis penyerahan sumbangan wakaf pelitup muka keluaran Karangkraf Medicare kepada petugas barisan hadapan PPV Kajang Plaza Medical Centre.
Dari kanan: Hashim, Raja Shahfaizal, Loy Sian dan Saroni pada majlis penyerahan sumbangan wakaf pelitup muka keluaran Karangkraf Medicare kepada petugas barisan hadapan PPV Kajang Plaza Medical Centre.
A
A
A

KAJANG - Pelitup muka merupakan hadiah paling relevan dan terbaik buat petugas barisan hadapan yang bertugas tanpa henti di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kajang Plaza Medical Centre (KPMC).

Ketua Pegawai Eksekutif KPMC, Datuk Saroni Judi berkata demikian ketika menerima sumbangan wakaf daripada pihak Karangkraf Medicare di sini pada Selasa.

Menurutnya, inisiatif tersebut sangat dihargai oleh pihak petugas hadapan di sini kerana mereka perlu berhadapan dengan 400 orang awam yang hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin di PPV tersebut setiap hari.

“Setiap hari kami menerima pelbagai aduan dan kerenah daripada penerima vaksin khususnya warga emas, ada antara mereka yang sering mempersoalkan jenis vaksin yang bakal diberikan kepada mereka dan lain-lain.

“Waktu pandemik ni, pelitup muka adalah sesuatu yang sangat diperlukan oleh anggota barisan hadapan di PPV kerana keperluan kami di sini bukan sekadar makanan dan minuman.

“Terima kasih kerana memberi hadiah yang sangat relevan dalam saat sukar ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Penyerahan sumbangan wakaf pelitup muka di sini turut dihadiri oleh Pengurus Besar Pemasaran Karangkraf Medicare, Raja Shahfaizal Khairudin, Pengurus Kanan Tugas-tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Hee Loy Sian.

Dalam pada itu, Raja Shahfaizal berkata, sebanyak 50 kotak pelitup muka tiga lapis keluaran Karangkraf Medicare disumbangkan kepada pihak KPMC hasil sumbangan wakaf daripada orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, kempen Wakaf Face Mask anjuran Karangkraf Medicare diadakan sejak Februari lalu berjaya mengumpul sebanyak RM7,500 dan sumbangan wakaf tersebut mula diagihkan kepada PPV di sekitar Selangor sejak awal Jun lalu.

“Serahan pelitup muka kali ini memberi fokus kepada petugas barisan hadapan di PPV yang wajar dibantu ketika waktu yang sukar ini.

“Serahan sebegini akan diteruskan dan orang ramai boleh menyumbang akaun Maybank Karangkraf Medicare di nombor 5642-7653-6529,” katanya.