Isu kebanjiran warga asing, kerajaan rangka solusi

Seramai 96 etnik Rohingya diperiksa dalam operasi di Rumah Flat Jalan Terubuk, Seberang Jaya pada Selasa.
Seramai 96 etnik Rohingya diperiksa dalam operasi di Rumah Flat Jalan Terubuk, Seberang Jaya pada Selasa.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Sifat warga asing yang sanggup tinggal serumah dalam jumlah yang ramai di negara ini hingga mengganggu persekitaran dengan bunyi bising menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan warga tempatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang membuat lawatan di Rumah Pangsa Jalan Terubok dan Pangsapuri Taman Sutera menjelaskan, kehadiran beliau bersama pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta agensi penguat kuasa berkenaan di lokasi terbabit adalah bagi memastikan punca sebenar masalah yang timbul.

"Saya nak memastikan apa sebenarnya masalah yang timbul apabila orang asing ini datang dan bercampur gaul di sini kerana polisi untuk kita menentukan masa depan harus dilihat dari segi masalah yang ada di lapangan.

"Saya tidak boleh hanya melakukan dan mencadangkan kerajaan membuat satu polisi tanpa mengetahui masalah sebenarnya.

"Dengan kependudukan yang makin bertambah, kawasan itu mereka kawal. Bila mereka sudah kawal, ia menyebabkan masyarakat tempatan tidak boleh bercakap apa-apa lagi. Masalah lain adalah isu kesihatan," ujarnya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Tegas Hamzah, kumpulan warga asing tersebut mempunyai sifat berbeza daripada yang dilihat.

Kata beliau, setiap bilik dihuni oleh satu keluarga hingga adakalanya satu rumah memuatkan antara 20 hingga 30 orang. Keadaan itu menimbulkan masalah seperti bunyi bising serta pelbagai masalah lain.

"Saya bukan hendak cari masalah mereka tapi hendak cari penyelesaian untuk selesaikan perkara ini sekarang.

Artikel Berkaitan:

"Banyak perkara yang saya mahu untuk cari satu kaedah yang baik dan polisi yang ada nanti tidak ada percanggahan pendapat antara rakyat Malaysia selain mengikut undang-undang sedia ada," katanya.

UNCHR perlu ikhlas

Kerajaan juga perlu meneliti semua aspek secara menyeluruh gesaan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) supaya kem pelarian termasuk untuk etnik Rohingya dibina di negara ini.

Jelas Hamzah, antara perkara yang perlu dilihat termasuk daripada aspek lokasi dan pembinaan kem pelarian tersebut sebelum polisi berkaitannya diumumkan.

"Memang UNCHR mencadangkan perkara itu (kem pelarian) bagi menangani isu pelarian Rohingya tersebut tetapi kita tidak pasti bentuk kem pelarian bagaimana yang dimaksudkan.

Hamzah bertemu wakil etnik Rohingya di Rumah Flat Jalan Terubuk, Seberang Jaya pada Selasa.
Hamzah bertemu wakil etnik Rohingya di Rumah Flat Jalan Terubuk, Seberang Jaya pada Selasa.

"Kita perlu melihat kepada realiti seperti tempat dan lokasi serta pembinaan (kem pelarian). Itu semua perlu diambil kira sebelum kita umumkan sesuatu polisi," katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata, pihaknya akan meminta UNHCR menyerahkan senarai pemegang kad suruhanjaya tersebut di negara ini bagi membolehkan pemantauan dan penguatkuasaan dilakukan.

Jelas Hamzah, UNHCR memberikan kad kepada warga asing tersebut untuk tempoh tiga tahun.

"Jika tiada penguatkuasaan, apa jadi kepada mereka selepas tiga tahun? Mereka masih lagi duduk di sini. Kita pula tidak tahu bagaimana hendak cari mereka kerana UNHCR tidak berikan senarai kepada kita," katanya.

Justeru, ia adalah sesuatu yang perlu diambil kira dengan berbincang bersama UNHCR.

"Saya mementingkan rakyat Malaysia untuk tinggal lebih selesa. Jika mereka (warga asing) sudah tinggal lama di sini, sepatutnya sudah faham bahawa rakyat kita ikut undang-undang.

"Kalau dah ada undang-undang sepatutnya sudah faham sama ada warga atau bukan untuk memahami tanggungjawab masing-masing," katanya.

Ujarnya, beliau akan berbincang lebih lanjut bersama pegawainya di KDN selain Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memikirkan apa polisi yang harus diketengahkan.

"Ini perlu agar di masa depan nanti siapa yang tinggal di negara ini tahu inilah undang-undang di Malaysia. Tidak boleh berkasar dengan rakyat Malaysia," katanya.