Beberapa lokaliti di Sabah, Sarawak dilaksanakan PKPD

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa lokaliti di Sabah dan Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 17 hingga 30 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD di Sabah membabitkan masing-masing dua kawasan di Kalabakan, Tawau dan Kota Kinabalu manakala satu di Kota Belud dan Kudat.

Menurut Ismail, dua lokaliti yang terlibat di Kalabakan ialah Kampung Rancangan Kampung Kijang Merotai manakala bagi Tawau di Kampung Tanjung Batu Tengah dan Taman Semarak Megah.

Selain itu, tambah beliau, untuk kawasan Kota Kinabalu, lokaliti terlibat ialah Kampung Rampayan dan Kampung Kionsom Kecil.

“Bagi Kota Belud, PKPD dilaksanakan di Kampung Taun Gusi Peninting yang mana sebanyak 10 saringan telah dilakukan dan daripada jumlah itu, lapan daripadanya dikesan positif Covid-19.

“Di Kudat, PKPD dilaksanakan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Ehsan yang mana lapan kes positif Covid-19 direkodkan selepas 41 saringan dilakukan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, pihaknya juga telah melanjutkan PKPD Kampung Simpangan, Tuaran, Sabah selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk serta kes baharu juga telah direkodkan di lokaliti itu.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan penamatan PKPD di beberapa kawasan di negeri Sabah, Perak dan Pahang.

Artikel Berkaitan:

“Di Sabah, kawasan yang terlibat ialah Taman Nikmat, Kampung Pirasan dan Kampung Dundau di Tawau manakala di Sandakan pula adalah Lorong Taman Utama 5,6,7 dan 8, Taman Utama dan Lorong Ulu Sibuga 5 dan 9 serta Fasa 7 serta Taman Mawar.

“Penamatan PKPD turut dilaksanakan di Kampung Sugud, Penampang dan Kampung Sepagaya Hulu, Silam, Lahad Datu.

“Untuk Perak, kawasan yang ditamatkan PKPD ialah Kampung Tanjung Kepah, Kampung Batu 9, Kampung Sungai Lombong di Batu 9 Lekir, Mukim Lekir, Manjung, Perak manakala di Raub, Pahang PKPD ditamatkan di Felda Tersang 1,2 & 3, Mukim Batu Talam,” katanya.

Sementara itu Ismail berkata, 854 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Isnin.

“Daripada jumlah itu, seramai 819 individu dikompaun manakala 35 lagi individu direman,” katanya.