'Jangan layan pekerja seperti lembu' - Hamzah

Hamzah ditemui pemberita semasa menjalankan pemeriksaan di kilang sekitar Sungai Petani pada Selasa.
Hamzah ditemui pemberita semasa menjalankan pemeriksaan di kilang sekitar Sungai Petani pada Selasa.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengingatkan setiap majikan supaya lebih bertanggungjawab terhadap pekerja mereka.

Peringatan itu dilontar Hamzah susulan sebuah lori yang digunakan bagi membawa 48 pekerja warga asing memakai gelang merah jambu di kawasan Sungai Lalang semasa dalam perjalanan pulang dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda di sini, menuju ke asrama kilang terbabit di Sungai Lalang.

"Inilah yang saya katakan tadi bila kita lakukan sesuatu ikutlah undang-undang dan usah fikir keuntungan.

"Jika rasa hendak bantu pekerja, bantu secara lebih berhemah. Kalau hendak hantar mereka ke hospital ambillah bas. Kalau boleh sewa bas, sewa bas.

"Yang kau ambil lori bawa orang macam lembu kenapa? Ini yang saya hairan. Kau untung dah banyak bertahun-tahun. Tiba-tiba bila ada masalah buat pekerja seperti lembu," katanya kepada pemberita selepas hadir menyertai operasi pematuhan di kilang sekitar daerah ini pada Selasa.

Tegas Hamzah, pemilik kilang terbabit adalah tidak bertanggungjawab dengan pekerja mereka.

Jelasnya, majikan itu akan disiasat untuk diambil tindakan atas kesalahan tertentu.

Pada Ahad, tular rakaman melalui gambar dan video yang dimuat naik beberapa pengguna laman sosial menunjukkan kesemua penumpang berdiri dalam lori terbabit memakai gelang kuarantin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Menggunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi tujuan lain), Seksyen 22 (b) Akta 342 (Kesalahan am tidak mematuhi apa-apa perintah yang dikeluarkan pegawai yang diberi kuasa) dan Seksyen 270 Kanun Keseksaan (Perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa).