Sambutan Hari Keputeraan Sultan Kedah dilewatkan ke tarikh lain

Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah
Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah
A
A
A

ALOR SETAR - Sambutan perayaan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ke-79 dilewatkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Paduka Ammar Shaikh Mahmood Naim berkata, Sultan Sallehuddin memperkenan sambutan itu dilewatkan memandangkan keadaan semasa negara yang masih belum stabil berikutan peningkatan drastik wabak Covid-19 sejak akhir-akhir ini.

"Pendekatan seperti ini harus diambil dalam usaha untuk membendung wabak Covid-19 daripada terus menular di negara ini.

"Kerjasama dan sokongan berterusan daripada rakyat amat diperlukan untuk memastikan keberkesanan tindakan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Kedah bagi menjamin kelangsungan kesihatan awam dan kesejahteraan rakyat dapat dicapai," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ammar berkata, bagaimanapun hari kelepasan am atau cuti umum sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah itu pada 20 Jun dikekalkan tanpa sebarang perubahan.

"Ucapan sembah tahniah sempena sambutan perayaan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah yang ke-79 tahun 2021 melalui saluran media cetak dan media elektronik boleh dilaksanakan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: