Doktor pelatih didakwa lakukan seks, cabul pesakit di hospital

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang doktor pelatih mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang di sini pada Selasa atas pertuduhan melakukan seks ke atas seorang pesakit wanita di wad sebuah hospital di sini tahun lepas.

Yeah Wei Yee, 29, didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap seorang pesakit wanita berusia 25 tahun di wad hospital itu pada jam 4.30 pagi, 5 September 2020 mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul pesakit itu di tempat dan masa serupa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul ‘Ain Shafie dan Khairunnisak Hassni menawarkan jaminan RM10,000 bagi pertuduhan melakukan seks dan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin untuk pertuduhan mencabul.

Peguam, Yuvaraj Sugapathy yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah berikutan anak guamnya merupakan seorang penjawat awam dan masih berada dalam tempoh latihan di hospital.

Hakim, Nor Rajiah Mat Zin membenarkan lelaki itu diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin manakala jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin ditetapkan Majistret Nur Hafizah Rajuni, masing-masing dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali selain dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 15 Julai untuk sebutan semula kes. - Bernama

Artikel Berkaitan: