Bohong dulu, bohong sekarang

A
A

*TANPA angin, tanpa ribut, tiba-tiba sahaja dikhabarkan tsunami berskala Richter akan melanda kerajaan Pakatan Harapan. Kata yang empunya cerita wujud komplot dalam komponen PH untuk membentangkan undi tidak percaya terhadap kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Maka ada macam-macam reaksi. Ada yang kata ini sengaja dibangkitkan untuk mengalihkan tumpuan daripada isu RM90 juta dedak Umno kepada Pas.

Ada yang kata perihal ini ditimbulkan untuk menghangatkan lagi kempen PRK Semenyih. Tetapi lebih banyak yang percaya ini hanya satu pembohongan. Almaklumlah semenjak dua menjak ini orang semakin berani berbohong, sebab dikatakan bohong pun boleh menepati patuh syariah.

*PERIHAL undi tidak percaya itu, para pemimpin parti komponen pun ada macam-macam pandangan, semua menganggap itu karut. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan ia suatu fitnah yang sengaja ditimbulkan bagi mencetus keresahan dalam kalangan komponen PH.

Saudara Lim Kit Siang berkata ini tidak berasas, dan hanyalah acah-acah sesetengah pihak yang sudah kekeringan idea untuk memburukkan imej PH.

Majlis Presiden PH meletakkan sepenuh keyakinan terhadap kepimpinan Tun M. “Tidak timbul langsung isu undi tidak percaya,” kata Setiausahanya Saifuddin Abdullah.

Tun M sendiri apabila ditanya mengenai perkara berkenaan hanya berkata: “Saya hendak tengok apakah Pas betul menyokong saya apabila itu terjadi...” Harap-harap tidak ada sesiapa yang berbohong dalam hal ini... walaupun bohong sunat.

*MUDAH sangat RTM dituduh cuba mensabotaj kerajaan, hanya kerana tidak menyiarkan ucapan menteri! Lim Swee Kuan, seorang pegawai Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mahu tindakan diambil ke atas mana-mana kakitangan RTM terlibat.

Ini kerana stesen penyiaran kerajaan itu tidak menyiarkan ucapan menteri berkenaan ketika siaran langsung program rumah terbuka Tahun Baharu Cina peringkat kebangsaan di Seremban, baru-baru ini.

Macamlah itu satu kesalahan besar, Menteri Komunikasi & Multimedia, Gobind Singh Deo meminta satu laporan lengkap menjelaskan insiden tersebut.

Pada hal SOP RTM memang dengan jelas menyebut bahawa hanya ucapan Perdana Menteri disiarkan secara langsung melalui stesen berkenaan.

Akur dengan SOP itu, Gobind berkata: “RTM tidak boleh dipersalahkan (dalam hal ini).” Ertinya tidak ada sabotaj, jadi jangan mudah-mudah hendak ambil tindakan.

Maka pegawai menteri yang cepat melenting dan membuat tuduhan melulu itu, patut juga tahu SOP, dan patut sekali dia meminta maaf kepada RTM.

Pada ketika kerajaan PH bercakap mengenai kebebasan akhbar, sikap pegawai menteri itu ternyata tidak relevan...

*DI IPOH sebuah pusat hiburan terbakar, awal subuh baru-baru ini, mengorbankan enam orang – tiga lelaki tempatan, seorang lelaki warga Bangladesh, dan dua wanita warga Vietnam.

Bomba berjaya menyelamatkan 14 lagi pengunjung, beberapa orang cedera, dalam kebakaran yang terjadi pada kira-kira 5.30 subuh itu.

Menurut laporan media pusat hiburan berkenaan mempunyai lesen yang sah, tetapi polis akan menyiasat sama ada pemilik telah melanggar peraturan kerana beroperasi lebih jam 1 tengah malam.

Tidak perlu siasat, kejadian berlaku waktu subuh, sahlah pemilik telah terlajak waktu yang dibenarkan. Apa hendak siasat lagi, ambil terus tindakan!

Apakah ini pertama kali pusat hiburan itu terbabas waktu, atau memang sudah kerap beroperasi hingga ke subuh?

*DALAM pada itu, di KL walaupun telah diserbu 10 kali sebuah pusat hiburan di Kelana Jaya masih tidak serik menjalankan kegiatan mereka.

Beberapa hari lalu 16 wanita warga asing yang bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO), ditahan dalam serbuan Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Selangor.

Menurut polis pusat itu sudah beroperasi sejak 10 tahun lalu dan pernah diserbu lebih 10 kali oleh pelbagai agensi, tetapi pemiliknya masih berdegil.

10 kali diserbu, pemiliknya masih berdegil, dan tidak ada apa-apa tindakan tegas daripada pihak berkuasa? Apakah hendak tunggu 100 kali serbu, baru bertindak?

Atau, apakah kerana rasuah pusat-pusar hiburan yang degil ini – bilangannya beratus di seluruh negara – terus beroperasi?

*AKHIR kalam, Lim Guan Eng kata hutang negara masih pada peringkat RM1 trilion ringgit pada akhir tahun 2018. Tambah Menteri Kewangan itu, kerajaan telah berjaya mengurangkan hutang negara daripada angka sebelumnya sebanyak RM1.087 trilion. Bila agaknya nak habis hutang tu...

TOK PERAK