X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Lima lagi kluster baharu dikesan di Sarawak

Gambar hiasan
A
A

KUCHING - Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak pada Selasa mengisytiharkan lima lagi kluster baharu dikesan melibatkan daerah Kuching, Subis, Meradong dan Julau.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Kluster Jalan Daya di Kuching adalah antara kluster baharu yang diisytihar apabila 27 kes positif Covid-19 dikesan di sebuah kilang pemprosesan makanan laut di Kawasan Perindustrian Pending, manakala 76 lagi menunggu keputusan makmal.

“Kluster Kampung Muara Tebas di Kuching pula dikesan akibat pergerakan sosial dan kontak rapat dalam kalangan penduduk yang melibatkan beberapa keluarga di rumah berasingan (dengan) sejumlah 14 kes telah dikesan positif,” katanya.

Kenyataan itu menyebut Kluster Dulang di Subis pula melibatkan sebuah ladang kelapa sawit di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Suai dengan 39 kes telah dikesan positif manakala satu masih menunggu keputusan makmal.

Di Meradong, Kluster Nanga Strass melibatkan komuniti rumah panjang yang mencatatkan 29 kes positif dan tiga yang masih menunggu keputusan makmal manakala Kluster Nanga Sejugam di Julau turut membabitkan komuniti rumah panjang dan merekodkan 64 kes positif.

Jumlah keseluruhan kes Covid-19 meningkat kepada 56,905 berikutan 718 kes baharu yang dilaporkan pada Selasa, manakala angka kematian bertambah kepada 358 orang apabila dua lagi kematian akibat virus itu dicatatkan. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!