Tidak tahu ada mesyuarat 'tergempar', tiada surat jemputan: Zahidi

Zahidi Zainul Abidin
Zahidi Zainul Abidin
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin mendedahkan tidak mengetahui sebarang tentatif mesyuarat 'tergempar' yang dikatakan bakal diadakan di antara barisan menteri UMNO dan Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada petang Selasa.

Mengulas lanjut, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu turut menegaskan beliau tidak menerima sebarang surat jemputan menghadiri mesyuarat 'tergempar' berkenaan yang kononnya dijadualkan pada jam 2.30 petang di bangunan Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar sebaliknya menepis dakwaan menteri-menteri UMNO ada memohon untuk mengadakan mesyuarat luar biasa dengan Ahmad Zahid sebelum ini.

"Tiada...tidak tahu pun (dakwaan pertemuan menteri UMNO dan Ahmad Zahid).

"Terima surat jemputan? Belum lagi kot. Tiada saya dengar ada menteri jadi wakil untuk jumpa Presiden (sebelum ini)," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas laporan sebuah portal tempatan yang memaklumkan satu mesyuarat luar biasa di antara Ahmad Zahid dan barisan menteri UMNO dijangka diadakan pada petang Selasa di bangunan WTC, Kuala Lumpur.

Jelas portal berkenaan, mesyuarat itu diatur secara mengejut oleh Menteri Kanan Keselamatan yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, setelah Ahli Parlimen Bera dikatakan menghantar surat jemputan sejak petang Isnin.

Portal berkenaan turut memaklumkan Ismail dikatakan akan mengadakan perjumpaan pra-mesyuarat sebagai persediaan berjumpa Ahmad Zahid bagi menerangkan tujuan sebenar perjumpaan.

Artikel Berkaitan:

Terdapat desas-desus mendakwa tujuan mesyuarat berkenaan adalah bagi menyakinkan Ahmad Zahid untuk menyokong tempoh proklamasi darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos hadapan.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan pertemuan 'tergempar' berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada pertemuan tergempar Zahid, menteri UMNO petang ini

Sementara itu, Zahidi sewaktu diminta mengulas mengenai perkembangan semasa kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam mendepani pandemik Covid-19, berpendapat kerajaan masih memerlukan tempoh dua atau tiga minggu lagi dalam usaha membendung peningkatan kadar kebolehjangkitan Covid-19 di negara ini.

'Setakat ini, tiada perkembangan apa lagi (dari sudut kerajaan). Kena tunggu lagi dua, tiga minggu selepas (ancaman pandemik) Covid-19 berkurangan,"katanya.

Zahidi juga turut memberikan isyarat penentuan sama ada pemilihan agung UMNO akan diadakan atau tidak, dalam tempoh masa yang sama iaitu dua hingga tiga minggu lagi.

"Ya, penentuan kelulusan diadakan proses pemilihan UMNO ditentukan Majlis Keselamatan Negara (MKN), tetapi banyak perkara lain juga perlu diambil kira.

"Soal sama ada pemilihan UMNO akan diadakan selepas itu (dua atau tiga minggu lagi), nanti kita beritahu,"katanya.