X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada petanda moratorium pukal dilaksanakan

Ahmad Zahid
A
A

SHAH ALAM - Sekatan Pergerakan Penuh dalam PKP 3.0 yang dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 28 Jun ini masih belum ada petanda positif kemungkinan rakyat berpeluang menikmati moratorium pukal tanpa faedah.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, moratorium pukal yang dicadangkan bukan bermakna bank membatalkan pinjaman, tetapi menangguhkan pembayaran tanpa caj.

“Moratorium adalah langkah penting ketika ekonomi merudum untuk menangani dua isu utama.

“Pertama, golongan yang tidak mempunyai pendapatan. Meskipun moratorium tidak menambah pendapatan, tetapi ia memberi kelegaan jangka pendek akibat kehilangan aset ataupun apa-apa tekanan institusi kewangan.

"Kedua, golongan yang ada pendapatan, tetapi berkurangan. Justeru, moratorium memberi duit lebih di tangan mereka untuk berbelanja," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Perbelanjaan tersebut akan masuk dalam kitaran ekonomi untuk membolehkan lebih banyak sektor bergerak.

“Hasilnya, kerajaan akan mendapat cukai daripada transaksi ini. Justeru, gunakanlah kuasa untuk rakyat, bukan untuk kekalkan jawatan,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menjelaskan, laporan tahun lalu mendedahkan bank masih mencatatkan keuntungan ketika rakyat hilang segala-galanya sepanjang berdepan dengan penularan wabak Covid-19.

Beliau turut membidas kenyataan Menteri Kewangan yang mengatakan mereka tiada kuasa, sedangkan Akta 701 dan Akta 758 serta Ordinan Darurat boleh digunakan bagi menekan pihak bank.

"Bank seharusnya sanggup berkorban untuk rakyat sama seperti rakyat yang sanggup bersusah payah berkorban demi institusi perbankan," katanya ketika ini sektor pelancongan ditutup dan perniagaan seperti kedai makan banyak yang gulung tikar.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!