X

Kindly register in order to view this article
!

Kedah perinci pelaburan RM43 bilion

Exco Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi,Inovasi dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail
A
A

ALOR SETAR - Invest Kedah Berhad memperincikan pelaburan RM43 bilion diterima Kedah bagi suku pertama tahun ini yang dilaporkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Exco Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi, Inovasi dan Pengajian Tinggi Kedah, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata, secara keseluruhan, Kedah menerima RM42.98 bilion daripada jumlah keseluruhan pelaburan langsung asing (FDI) dan domestik (DDI).

Menurutnya, pelaburan diterima Kedah bagi sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama untuk FDI dan DDI dalam tempoh tiga bulan ini amat memberangsangkan.

"Bagi sektor perkilangan, sebanyak RM42.29 bilion merupakan jumlah FDI diterima dan RM98 juta lagi adalah jumlah DDI di Kedah membabitkan jumlah keseluruhan RM42.39 bilion.

"Jumlah FDI untuk sektor perkhidmatan dan utama diterima adalah RM2.68 juta dan DDI pula sebanyak RM598.5 juta menjadikan jumlah keseluruhan RM0.6 bilion," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ku Abd Rahman berkata, pelaburan baharu sektor perkilangan yang diluluskan MIDA daripada Risen Solar Technology Sdn Bhd melibatkan produk 'solar module' dan 'solar cell' dengan FDI tertinggi sebanyak RM42.23 bilion dibawa ke Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP).

Jelasnya, pelaburan syarikat Risen Solar Technology Sdn Bhd dari China merupakan satu perkara amat baik untuk merealisasikan matlamat Kedah sebagai Solar Hub Malaysia.

"Secara kebetulannya, Kedah memiliki projek ladang solar, sekali gus bersesuaian merealisasikan hasrat berkenaan sejajar dengan keadaan negeri yang menerima matahari lebih panjang berbanding dengan negeri lain.

"Bagi sektor perkilangan itu, Kedah turut menerima pelaburan baharu DDI daripada Plasticycle Industri Sdn Bhd (RM6.93 juta), Kiyamas Chemical Sdn Bhd (RM20.1 juta), SP Mega Minerals Sdn Bhd (RM29.3 juta), CSH Green Resources Sdn Bhd (RM9 juta) dan Bumimaju Industries Sdn Bhd (RM3.1 juta)," katanya.

Katanya, beberapa syarikat lain membuat pelaburan pembesaran atau tambahan sektor perkilangan iaitu, syarikat Munzing Malaysia Sdn Bhd dari Jerman yang memproses bahan kimia dengan FDI sebanyak RM54.95 juta di Bukit Selambau.

"Antara lain, syarikat Ryco Hydraulics Sdn Bhd turut membuat pelaburan FDI sebanyak RM1.7 juta melibatkan pengeluaran produk getah di Kuala Ketil dan SM Biomed Sdn Bhd melaburkan RM1.15 juta untuk produk bahan kimia di Sungai Petani," katanya.

Beliau berkata, Kencana Biotech Sdn Bhd menambah pelaburan DDI sebanyak RM6.68 juta membabitkan produk makanan di Sungai Korok, United Copper Industry Sdn Bhd (RM2 juta) untuk industri asas logam di Gurun, Silcotech Industry Sdn Bhd (RM4.9 juta) untuk kilang kimia di Sungai Lalang dan Laser Compo Sdn Bhd (RM2 juta) di Sungai Petani serta Coraza Systems Malaysia Sdn Bhd (RM14.29 juta) di Kulim untuk kilang fabrikasi logam.

Ku Abd Rahman berkata, pihaknya menjangkakan pelaburan diluluskan MIDA bagi sektor perkilangan pada suku pertama tahun ini dijangkakan memberi peluang pekerjaan kepada 3,778 orang.

"Kemasukan pelaburan di Kedah bukan hanya membuka peluang pekerjaan kepada orang awam khususnya anak muda,malah mampu menjana ekonomi tempatan, meningkatkan kadar pertukaran mata wang asing, mengukuhkan kewangan dan sebagainya," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: MB digesa perincikan pelaburan RM43 bilion diterima Kedah

Beliau menyifatkan pelaburan diluluskan MIDA di Kedah pada suku pertama tahun ini merupakan pelaburan tertinggi dan amat luar biasa, yang mana tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Pelaburan RM42.98 bilion ini merupakan paling tinggi dalam sejarah Kedah, malah tidak pernah ada negeri yang pernah mencapai pelaburan tertinggi dalam tempoh tiga bulan seperti ini," katanya.

Ku Abd Rahman berkata, pencapaian Kedah adalah hasil kerjasama satu pasukan yang baik sehingga menerima pelaburan tertinggi merupakan satu perkara yang amat menggembirakan.

"Kedah di bawah Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor bersama barisan exco dan pelbagai pihak seperti Invest Kedah, KHTP, pejabat tanah, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sebagainya berjaya menarik pelabur termasuklah pelabur asing untuk melabur di Kedah.

"Walaupun ketika ini pandemik Covid-19 melanda negara dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, saya menjangkakan Kedah dapat menambah pelaburan hasil usaha keras semua pihak menarik pelabur," katanya.

Pada Sabtu, bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menggesa pelaburan diterima Kedah bagi suku pertama tahun ini yang mencecah RM43 bilion diperincikan susulan pengumuman oleh MIDA disifatkan umum.

Kedah mencatatkan nilai pelaburan RM43 bilion pada suku pertama 2021 berada di kedudukan pertama di hadapan Selangor, Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur seperti diumumkan MIDA.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!