Kerajaan kaji beri vaksin kepada individu 12 hingga 17 tahun

 Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan sedang mengkaji pemberian vaksin kepada individu yang berusia 12 hingga 17 tahun.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sememangnya perkembangan positif kadar vaksinasi harian memberi keyakinan kepada kerajaan bahawa Pelan Pemulihan Negara dapat dijayakan bersama.

Katanya, kerajaan berjaya memberikan vaksinasi kepada hampir kesemua petugas barisan hadapan, serta lebih daripada 50 peratus golongan yang berusia 60 tahun ke atas telah menerima dos pertama.

"Terkini, kerajaan sedang mengkaji pemberian vaksin kepada anak-anak kita yang berusia 12 hingga 17 tahun.

"Ini kerana lebih ramai yang dilindungi oleh vaksin, semakin longgar kawalan pergerakan yang boleh kita laksanakan.

"Lebih banyak sektor ekonomi dan sosial yang boleh dibuka dan kita boleh mula beralih secara teratur dan selamat kepada norma kehidupan pra-pandemik. InsyaALLAH," katanya ketika Perutusan Khas Perdana Menteri, Pelan Pemulihan Negara yang disiarkan di beberapa stesen televisyen tempatan pada Selasa.

Selain itu, beliau berkata, jumlah kes harian Covid-19 negara akan terus mencatatkan penurunan susulan peningkatan kadar vaksinasi dan tindakan kesihatan awam yang masih diteruskan.

"Pengalaman negara-negara lain yang telah meningkatkan kadar vaksinasi di negara masing-masing juga telah menunjukkan penurunan kes-kes harian baharu yang ketara.

Artikel Berkaitan:

"Ini pastinya akan memudahkan kita untuk melaksanakan pelan pemulihan negara yang komprehensif," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelan Pemulihan Negara rangkumi empat fasa: PM