X

Kindly register in order to view this article
!

Fasa empat PICK di Labuan dalam tempoh terdekat

Khairy Jamaluddin (kanan) bersama Amirudin semasa sidang media selepas mempengerusikan bersama Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Selangor di Bangunan Annex Dewan Negeri Selangor, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Fasa Empat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebagai fasa kawalan wabak akan dilaksanakan di seluruh Labuan dalam tempoh terdekat bagi membendung jangkitan pandemik itu di kawasan wilayah persekutuan tersebut, kata Menteri Penyelaras program itu Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Khairy berkata, program vaksinasi di Labuan tidak lagi dilakukan sebagaimana fasa biasa susulan peningkatan kes Covid-19 yang mendadak di pulau tersebut, akibat penularan B.1.617.2 atau varian Delta yang menjadi varian lebih ganas.

“Semalam, hasil mesyuarat saya bersama dengan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa memutuskan, untuk kita melaksana program fasa empat sebagai fasa kawalan wabak di Labuan.

“Kita jangka akan selesai proses vaksinasi kepada 80 peratus daripada jumlah penduduk dewasa di Labuan, selewat-lewat pertengahan Julai atau kalau boleh lebih awal daripada itu, untuk kita bendung penularan Covid-19 di sana,” katanya yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Selangor bersama dengan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari pada Selasa.

Pada Isnin, Labuan mencatatkan 113 kes baharu dengan empat kematian menjadikan jumlah kes Covid-19 di pulau itu sebanyak 6,155 kes. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!