Pegawai SPRM, seorang lelaki didakwa tuduhan rasuah RM100,000

Shahrul (kanan) dan Peng Sin (tengah) hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dituduh pada Selasa.
Shahrul (kanan) dan Peng Sin (tengah) hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dituduh pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan rasuah berjumlah RM100,000 April lalu.

Shahrul Izuan Mohd Zain, 41, dan Teoh Peng Sin, 55, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan masing-masing di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Bagi pertuduhan utama, Shahrul Izuan yang bertugas di SPRM Putrajaya didakwa bersubahat dengan Peng Sin menerima rasuah wang tunai RM100,000 daripada Tan Chee Sheng, 34, sebagai dorongan untuk tidak melakukan siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 oleh SPRM terhadap Chee Sheng.

Shahrul Izuan juga didakwa atas pertuduhan pilihan iaitu dengan curangnya menipu dengan memperdaya individu sama kononnya membantu untuk tidak melakukan siasatan bagi kesalahan pengubahan wang haram oleh SPRM kepada Chee Sheng sehingga dia menyerahkan wang tunai RM100,000 yang kesalahan tersebut dilakukan hasil subahat Shahrul Izuan.

Peng Sin yang bekerja sendiri di Johor Bahru, Johor pula menghadapi pertuduhan menerima suapan wang tunai RM100,000 daripada Chee Sheng sebagai dorongan untuk tidak melakukan siasatan bagi kesalahan sama oleh SPRM terhadap Cheng Sheng.

Peng Sin juga didakwa atas pertuduhan pilihan dengan curangnya menipu dengan memperdaya Chee Sheng kononnya membantu untuk tidak melakukan siasatan bagi kesalahan sama oleh SPRM sehingga mendorongnya menyerahkan wang tunai RM100,000.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah kedai kopi di sebuah pusat beli-belah di Sepang pada 14 April.

Bagi pertuduhan utama, Shahrul Izuan didakwa di bawah Seksyen 28(1) (c) dibaca bersama Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009 dan Peng Sin mengikut Seksyen 16 (a) (A) dan mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan itu dapat dinilai atau RM10,000 mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan pilihan pula, Shahrul Izuan dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 417 kanun sama manakala Peng Sin didakwa di bawah Seksyen 417, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh dan mengarahkan Shahrul Izuan dan Peng Sin melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM terdekat dan menetapkan 28 Julai untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab Wahab manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Datuk Hanif Hassan.

Sementara itu, SPRM dalam kenyataan berasingan menegaskan tidak akan berkompromi dengan kegiatan salah laku, jenayah atau apa-apa pelanggaran undang-undang oleh pegawainya dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya mereka melakukan perkara tersebut. - Bernama