13,500 OKU akan divaksin di PPV pandu lalu pertama di Malaysia

Khairy Jamaluddin (tengah) bersama Ras Adiba (kiri) dan Pengerusi Sime Darby, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas (kanan) ketika sidang media selepas melawat kawasan yang menempatkan PPV untuk OKU secara pandu lalu yang pertama di negara, di Menara Sime Darby Plantation, pada Selasa. - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin (tengah) bersama Ras Adiba (kiri) dan Pengerusi Sime Darby, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas (kanan) ketika sidang media selepas melawat kawasan yang menempatkan PPV untuk OKU secara pandu lalu yang pertama di negara, di Menara Sime Darby Plantation, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Seramai 13,500 warga orang kurang upaya (OKU) di Lembah Klang dijangka menerima vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) untuk golongan itu secara pandu lalu yang pertama di negara ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, PPV itu, yang akan memulakan operasi esok di Menara Sime Darby Plantation, Ara Damansara dari jam 9 pagi hingga 5 petang, menyasarkan 200 dos sehari.

“Ini adalah PPV OKU secara pandu lalu yang pertama di negara malah dunia. Saya yakin projek perintis ini akan berjaya dan kita akan menambah jumlah penerima serta meningkatkan kadar dos seharian pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan di PPV itu pada Selasa.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu juga berkata, PPV OKU secara pandu lalu tersebut boleh dijadikan rujukan sementara dan kerajaan akan mewujudkan garis panduan untuk negeri lain membukanya kepada komuniti OKU yang tidak dapat keluar dari kenderaan.

Beliau berkata, PPV OKU Pandu Lalu adalah cetusan idea Presiden OKU Sentral Senator, Datuk Ras Adiba Radzi dengan kerjasama Pusat Perubatan Ara Damansara, Sime Darby Plantation Berhad dan agensi kerajaan lain.

Ras Adiba pula berkata, pihaknya telah menerima hampir 16,000 permohonan daripada golongan OKU dan terpaksa menyenarai pendek seramai 13,500 orang sebagai penerima bagi sesi kali ini.

Beliau berkata, inisiatif PPV OKU secara pandu lalu adalah bagi memberikan pengalaman selesa kepada semua OKU termasuk OKU mental selain mempercepat proses vaksinasi bagi golongan itu kerana mereka adalah dalam kategori yang sangat memerlukan vaksin.

Ras Adiba juga berharap kerajaan dapat menambah bilangan dos vaksin dan mewujudkan lebih banyak PPV OKU secara pandu lalu di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut meminta semua penerima vaksin yang hadir ke PPV itu mengemas kini aplikasi MySejahtera.

PPV itu membolehkan warga OKU, yang ditemani seorang penjaga mendapatkan vaksin dengan hanya duduk di dalam kenderaan tanpa perlu keluar. -Bernama