Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu esok

Istana Negara
Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pandangan yang dikemukakan pemimpin politik ketika sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong sejak Rabu lepas hingga Selasa akan disembah maklum kepada Raja-Raja Melayu dalam satu perbincangan khas di Istana Negara pada Rabu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, beberapa pakar dari agensi kerajaan turut dijadual memberi sembah taklimat mengenai hal-hal berkaitan kesihatan, keselamatan, politik dan ekonomi negara pada Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang dijadual berlangsung pada jam 2.30 petang.

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap seramai 18 pemimpin parti politik dalam sesi yang berlangsung secara bersemuka dan maya di Istana Negara dan mendengar pandangan mereka mengenai pelbagai isu.

Selain pemimpin parti politik, Seri Paduka turut berkenan menerima menghadap Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021, Tun Arifin Zakaria.

"Perlu diperjelaskan di sini bahawa sesi-sesi menghadap para pemimpin parti politik adalah atas inisiatif serta keprihatinan tinggi Seri Paduka dan berkaitan usaha memerangi penularan wabak Covid-19 serta pelaksanaannya semasa tempoh darurat," menurutnya dalam satu kenyataan.

Artikel Berkaitan:


Pada 12 Januari lepas, Al-Sultan Abdullah mengisytiharkan agar Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal sebagai langkah proaktif untuk membendung pandemik Covid-19.

Ini merupakan kali kedua Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu diadakan di Istana Negara sejak Al-Sultan Abdullah menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari 2019 selepas yang pertama pada 25 Oktober tahun lepas. - Bernama