Beri vaksin dahulu baru daftarkan penerima: Tun M

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Proses suntikan vaksin Covid-19 kepada rakyat di negara ini sepatutnya tidak perlu melalui proses pendaftaran awal sebaliknya berikan suntikan terlebih dahulu, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jelas beliau, data hanya perlu diambil setelah mereka yang sudah menerima suntikan kerana dengan kaedah itu akan melancarkan lagi proses pemberian vaksin kepada rakyat.

"Kita pergi kepada orang, tak perlu daftar. Sesiapa sahaja boleh disuntik, lepas tu kita ambil data untuk daftar. Apa perlu MySejahtera? Terlalu banyak birokrasi. Amerika Syarikat (AS) suntik tiga juta (orang) mereka daftar? Saya tidak percaya mereka berdaftar.

"Saya berpendapat, proses suntikan vaksin ini hanya memerlukan dua doktor, dua jururawat dan seorang penolong.

"Kita akan ada banyak pasukan untuk pergi ke kampung-kampung dan beri suntikan kepada mereka yang tak mampu keluar ke bandar. Dengan itu suntikan dapat diperbanyakkan," katanya ketika Wawancara Eksklusif Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad secara maya disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.

Dr Mahathir turut mengkritik tindakan kerajaan yang disifatkan masih 'membuang masa' melakukan kajian terhadap keberkesanan vaksin yang telah digunakan oleh kebanyakan negara lain di dunia.

Jelas beliau, tindakan itu menyebabkan bekalan vaksin untuk negara ini menjadi terhad dan melambatkan proses pemberian vaksin kepada rakyat.

"China suntik lebih daripada 300 juta orang dan kita tahu mereka tak ada masalah macam India, dan bilangan kematian juga tak ramai bermakna tentu vaksin (buatan) mereka kita boleh guna,"katanya.

Artikel Berkaitan: