‘Apa perlunya darurat jika negara tidak boleh baik’

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa mempersoalkan pengumuman darurat apabila keadaan di negara ini tidak boleh menjadi baik.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, apa yang dilihatnya ialah dengan adanya darurat, Perdana Menteri akan terselamat.

“Parlimen tidak boleh bersidang, perbincangan tidak boleh dibuat, teguran dalam akhbar dilarang dan penyalahgunaan kuasa berlaku.

“Dia pula boleh belanja duit kerajaan tanpa pergi ke Parlimen. Itulah hasil daripada darurat, bukan berkenaan dengan Covid-19,” dakwanya dalam Wawancara Ekslusif Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad secara maya disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.

Dr Mahathir menambah, harapan pihaknya selepas darurat diisytiharkan angka Covid-19 akan berkurangan.

“Tetapi seperti mana kita tahu ia bertambah daripada 2,000 naik sampai 9,000,” katanya.

Ahli Parlimen Langkawi itu dalam masa sama menyifatkan kerajaan tidak ada idea dan tidak mempunyai pemikiran bagaimana mahu mengurangkan Covid-19 yang melanda negara.

“Pengisytiharan darurat tidak ada kena mengena dengan wabak Covid-19, cuma pasal (mengenai) politik nak kekalkan diri sendiri sebagai perdana menteri,” sindirnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut berpandangan ‘mobile vaksin centre’ seperti yang dilihat ada sekarang ini sepatutnya dibuat tiga bulan dahulu.

“Sepatutnya dibuat tiga bulan dulu bila isytihar darurat patut diadakan satu kempen berkenaan prosedur operasi standard (SOP) dan suntikan vaksin.

“Kalau diadakan tiga bulan dulu hari ini saya yakin angka akan turun kerana kita lihat di England umpamanya penduduk 55 juta lebih daripada kita tetapi tiap hari mereka lapor 3,000 sahaja tetapi kita 6,000 dan sampai 9,000.

“Jadi ini menunjukkan kecekapan dalam mengawasi dan menangani wabak ini tidak ada atau tidak dipedulikan sebaliknya masing-masing fikir pasal politik sahaja bagaimana mahu kekal,” katanya.