Dr Mahathir atur strategi jika Pejuang tidak diluluskan

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan beliau sudah mengatur strategi alternatif sekiranya pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) gagal diluluskan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.

Bagaimanapun sehingga kini, beliau masih terus berusaha memastikan Pejuang dapat didaftarkan.

"Kita akan tuntut supaya Pejuang didaftarkan kerana tidak ada sebab sama sekali Pejuang tidak boleh didaftarkan. Kita telah penuhi semua syarat tapi yang menjadi penghalang (untuk diluluskan) mungkin kerana Pejuang halang mereka (kerajaan) mencapai kemenangan.

"Kalau itu sebabnya, itu salah kerana gunakan kuasa kerajaan untuk parti. Negara kita ini banyak hakisan demokrasi...ini satu kezaliman yang tak patut dilakukan oleh kerajaan.

"Sebab itu kami akan tuntut supaya kami didaftarkan. Kalau tidak diluluskan juga, kita ada dua tiga cara lain, plan B, C dan sebagainya tapi saya tak boleh jelaskan sebab kita pun ada rahsia," katanya ketika Wawancara Eksklusif Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad secara maya disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.

Ditanya adakah Pejuang sedia kembali bergabung dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) susulan ikrar UMNO untuk tidak bersama Bersatu pada PRU15, Dr Mahathir bagaimanapun menolak perkara tersebut sebaliknya menegaskan Pejuang mempunyai perjuangan berbeza daripada semua parti politik sedia ada.

"Perjuangan kita lain daripada parti lain. Parti lain hanya tentang nak menang, nak jadi kerajaan tak kira apa cara mana pun," katanya.

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menetapkan 23 Jun ini bagi keputusan permohonan Pejuang untuk mencabar Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang belum membuat keputusan terhadap rayuan mereka mendaftar parti itu.

Artikel Berkaitan:

Pejuang melalui kenyataan dibuat Setiausaha Agung Jawatankuasa Penaja Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah baru-baru ini juga menggesa Menteri Dalam Negeri segera meluluskan pendaftaran parti itu untuk memberi pilihan kepada rakyat menyertainya dan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Amiruddin berkata, tindakan melengah-lengahkan pendaftaran Pejuang bermotifkan politik dan tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Bahkan, perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memanggil Pejuang untuk diterima menghadap sebagai salah satu parti politik disifatkan sebagai satu pengiktirafan yang perlu diambil kira.